PASIR PUTEH – Stesen Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) di sini mengutip hasil cukai daripada aktiviti eksplorasi dan petroleum yang dijalankan di kawasan tersebut melebihi RM65.1 juta sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan rekod sehingga 22 Disember lalu, ia menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dengan RM34.3 juta hasil cukai dan RM30.9 juta pada 2020.
Menurutnya, jumlah pungutan hasil cukai itu menunjukkan prestasi cemerlang JKDM di TBSB dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Peningkatan hasil kutipan cukai itu dipacu oleh tiga syarikat utama yang menjalankan operasi berkaitan iaitu HESS Exploration And Production, Malaysia B.V, Hibiscus Oil And Gas Malaysia Limited.
“Selain itu, ia turut melibatkan kawasan terlibat iaitu Joint Development Area, Commercial Arrangement Area dan North Malay Basin yang membantu meningkatkan hasil kutipan cukai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pangkalan Bekalan Petroleum Tok Bali di TBSB di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, antara kawalan yang dilakukan oleh JKDM di TBSB ialah mengawal selia kemasukan barang-barang tempatan ke TBSB, pergerakan barang-barang dari luar pesisir pantai dan kawalan keluar masuk kapal di pangkalan berkenaan.
Menurutnya, kawalan turut dilakukan terhadap sisa pepejal, cecair termasuk bahan kimia daripada aktiviti petroleum huluan, kawalan ke atas penggudangan barang-barang petroleum huluan dan pematuhan syarat-syarat pelesen pangkalan bekalan.
Tanbahnya, TBSB menjadi pemangkin ekonomi dalam aspek pembangunan di Tok Bali yang bukan hanya memberi hasil pendapatan kepada negara malah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. – KOSMO! ONLINE