PETALING JAYA – Selebriti versatil Awal Ashaari mengakui banyak mempelajari cara mengasuh dan menjaga dua anaknya tanpa pembantu sepanjang tempoh bercuti di luar negara baru-baru ini.
Tiada niat merungut, Awal, 41, melihat perkara tersebut sebagai peluang untuk mengenali dua anaknya, Lara Alana dan Lila Amina dengan lebih rapat.
“Pergi ke tempat jauh tanpa pembantu mengajar tentang kesabaran dan mendekatkan saya dengan anak-anak.
“Baru tahu perangai dan cara menjaga emosi mereka. Paling penting kena utamakan mereka berbanding keperluan sendiri,” katanya dalam satu entri Instagram.
Tambah bekas pengacara Melodi itu, banyak lokasi ingin dilawati namun hasrat tersebut perlu dilupakan kerana memikirkan dua anaknya masih kecil.
“Jika diikutkan, banyak tempat nak pergi dan ramai kawan-kawan ingin ditemui tetapi tidak boleh dilunaskan untuk percutian ini sebab pukul lima petang, semua sudah letih dan mengantuk.
“Namun, kami tidak merungut pun kerana realitinya saya rasa sangat akrab dengan mereka berbanding sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, rata-rata netizen turut bersetuju dengan perkongsian suami kepada aktres Scha Al-Yahya berkenaan.
“Bila sudah jadi ibu bapa, keperluan anak-anak memang akan jadi keutamaan, syabas untuk anda berdua.
“Bercuti dengan anak-anak memang huru-hara tetapi memori itu yang akan diingati sampai bila-bila,” komen netizen.
Sekadar info, Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Lara Alana, 8, dan Lila Amina, setahun 10 bulan. – KOSMO! ONLINE