PETALING JAYA – Penyanyi kontroversi Baby Shima membidas dakwaan netizen yang mengganggap dia tidak laku di Malaysia kerana dilihat lebih aktif mengembangkan sayap karier di negara jiran, Indonesia.
Tidak ambil pusing dengan perkara tersebut, Baby Shima, 30, menjelaskan bahawa dia banyak menerima tawaran di stesen televisyen tempatan.
“Alhamdulillah, saya dapat jadi pengacara dan tawaran berlakon di Malaysia. Kalau saya ambil semua itu takut kalian bosan tengok muka saya hari-hari.
“Kalau semua nak tahu, disebabkan saya tidak dapat memberikan komitmen dengan jadual persembahan yang padat di Malaysia dan Indonesia, saya tolak semua,” luah Shima dalam satu hantaran InstaStory.
Tambah penyanyi lagu Pura Pura Bujang itu lagi, dia selalu mengutamakan undangan melakukan persembahan kerana jumlah bayaran yang diterima jauh lebih menguntungkan.
“Saya lebih memilih untuk menerima tawaran melakukan persembahan. Masyuk (bayaran lebih tinggi),” ujarnya.
Terdahulu, penyanyi kelahiran Permas Jaya, Johor Bahru, Johor itu sering menerima kecaman kerana dianggap keterlaluan dan tidak pernah serik mengejar kontroversi dalam media sosial dengan penampilannya yang seksi.
Awal Disember lalu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya bagi mempertahankan diri apabila gambarnya digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk promosi. – KOSMO! ONLINE