LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui puas selepas menyaksikan pasukannya melebarkan jurang mata untuk terus mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas merekodkan kemenangan 3-1 ke atas West Ham awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Emirates itu, skuad The Gunners terpaksa bangkit daripada ketinggalan 0-1 sebelum berjaya melakar kemenangan hasil jaringan Bukayo Saka, Gabriel Martinelli dan Eddie Nketiah.
Menurut Arteta, barisan pemain telah mempamerkan karakter seperti sang juara kerana bukan mudah untuk bangkit selepas ketinggalan apabila pasukan lawan diberikan sepakan penalti yang sepatutnya boleh dielakkan.
“Saya puas hati dengan apa yang pasukan pamerkan sepanjang perlawanan ini dengan pemain menunjukkan keyakinan seperti apa yang telah mereka tampilkan pada awal musim sebelum ini dengan akhirnya pasukan berjaya melakar kemenangan,” katanya.
Sementara itu, pengendali import dari Sepanyol itu turut memuji impak yang dipamerkan oleh kapten pasukan, Martin Odegaard dan penyerang muda, Nketiah sepanjang 90 minit perlawanan.
“Nketiah adalah seorang pemain yang memiliki tahap keyakinan tinggi serta kemahiran terbaik, saya tidak terkejut dengan penyudah dilakukannya pada perlawanan kali ini. Saya harap dia dapat teruskan momentum kerana kita perlukan khidmatnya ketika ini.
“Situasi sama juga melibatkan Odegaard yang telah mencipta dua peluang buat rakan sepasukan kali ini. Dia berjaya menunjukkan ciri kepimpinan yang baik di atas padang selain hantaran yang dilakukan juga berkualiti,” katanya. – AGENSI