BANGKOK – Gara-gara tidak mengendahkan papan tanda amaran yang melarang pengunjung mendaki ke puncak air terjun, seorang pelancong dari Britain terjatuh pada ketinggian 40 meter, mengakibatkan dia mengalami patah tulang pinggul, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Joshua Kohler, 20, mendaki ke puncak air terjun Na Muang di pulau peranginan, Koh Samui bersama rakan-rakannya menjelang perayaan Krismas baru-baru ini.
Disebabkan ingin melihat pemandangan yang lebih cantik, Kohler dan tujuh rakannya tidak mengendahkan papan tanda amaran yang diletakkan berikutan terdapat beberapa kes kematian pelancong di kawasan tersebut.
Dia dilaporkan memanjat sehingga ke bahagian puncak air terjun lalu tergelincir pada permukaan licin sebelum jatuh di atas batu besar.
Kohler mengalami luka pada kepalanya dan disyaki patah tulang pinggul yang menyebabkan dia tidak dapat berjalan.
Pasukan penyelamat kemudian tiba untuk menyelamatkan Kohler, di mana operasi tersebut mengambil masa selama empat jam sebelum dia dibawa menaiki ambulans dan menuju ke hospital.
“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas batu besar dan meraung kesakitan. Terdapat beberapa rakannya turut berada di situ.
“Pelancong yang cedera itu diberikan bantuan kecemasan disebabkan luka sedalam 5 sentimeter pada kepalanya dan tulang pinggulnya yang patah,” kata Ketua Penyelamat Koh Samui, Suthipong Thongruang.
Susulan kejadian itu, Suthipong mengingatkan pelancong agar mematuhi papan tanda amaran di kawasan air terjun tersebut bagi mencegah sebarang kemalangan pada masa akan datang. – Agensi