fbpx

Wanita Afghanistan bantah penindasan Taliban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar dirakam pada 13 Oktober lalu menunjukkan pelajar wanita menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti di Universiti Kabul. - AFP

KABUL –  Wanita-wanita di Afghanistan bangkit menentang penindasan terbaharu terhadap hak-hak mereka di bawah pemerintahan Taliban selepas pihak berkuasa mengarahkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar memecat pekerja wanita daripada bekerja dengan mana-mana institusi berkaitan, lapor akhbar Arab News semalam.

Arahan terbaharu itu dikeluarkan oleh Menteri Ekonomi, Qari Din Mohammed Hanif Sabtu lalu dengan mana-mana organisasi tempatan atau asing yang didapati tidak mematuhinya akan dibatalkan lesen untuk beroperasi di Afghanistan.

Tindakan tersebut dibuat kurang seminggu selepas Taliban melarang wanita daripada belajar di universiti berikutan beberapa siri sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa terhadap golongan berkenaan sejak ia kembali menguasai Afghanistan tahun lalu.

Sekatan terbaharu itu mendapat kecaman meluas daripada organisasi antarabangsa dan kerajaan asing termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menyifatkan larangan tersebut sebagai pelanggaran jelas prinsip kemanusiaan.

Wanita-wanita Afghanistan yang terjejas disebabkan larangan itu turut mengecam tindakan yang disifatkan akan menjejaskan kehidupan banyak keluarga di seluruh negara itu selain menggesa tindakan segera diambil oleh masyarakat antarabangsa.

“Saya secara peribadi sangat tertekan kerana saya ialah satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga,” kata Ramzia Sayedi, yang bekerja di sebuah NGO asing di Kabul.

Ramzia berkata, kehadirannya dihalang oleh pejabat NGO tempat dia bekerja pada pagi kelmarin.

“Kami diberitahu agar meninggalkan pejabat dan tidak boleh bekerja di situ lagi sehingga perintah yang seterusnya (dikeluarkan) kerana jika sesiapa yang melanggar perintah itu, dia akan disumbat ke dalam penjara,” katanya.

Seorang aktivis hak-hak wanita dan pekerja di sebuah organisasi asing di Kabul, Sakina Husseini pula berkata, arahan dikeluarkan Taliban itu adalah tidak berperikemanusiaan.

“Keputusan ini tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan agama. Ini akan membawa kepada pelbagai akibat, justeru, saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk menangani masalah ini,” katanya.

Dalam pada itu, sekumpulan wanita melakukan protes di bandar Herat Sabtu lalu bagi membantah arahan Taliban yang melarang semua pelajar perempuan daripada meneruskan pengajian di universiti.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pegawai-pegawai Taliban menggunakan meriam air bagi meleraikan kumpulan penunjuk perasaan tersebut.

Mereka kemudian dilihat berlari sambil menjerit slogan ‘pengecut’ ke arah para pegawai berkenaan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI