PETALING JAYA – Sebanyak lima buah motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di kilometer(km) 26.5 hala barat (Genting Sempah – Gombak).
LPT dalam satu hantaran di Twitternya berkata, susulan kemalangan itu trafik bergerak perlahan sepanjang 8.5km dari km 35 Genting Sempah hingga ke lokasi kemalangan.
Selain itu, kemalangan itu juga menyebabkan lorong kanan terhalang menjadikan hanya lorong perlahan serta lorong tengah sahaja yang boleh dilalui oleh kenderaan lain.
Melalui beberapa gambar yang dikongsi LPT, kelihatan pihak Bomba dan dan Penyelamat turut berada di lokasi dipercayai bagi memadam api pada salah sebuah motosikal yang terbakar akibat kemalangan tersebut.
LPT turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu dan patuhi arahan petugas di lokasi. – KOSMO! ONLINE