IPOH – Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap perintah tutup selama 14 hari ke atas restoran atau kedai makanan yang didapati kotor.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan berkata, premis makanan yang diambil tindakan di bawah Akta Makanan 1983 perlu menghabiskan tempoh penutupan itu sehingga diperiksa semula oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).
Katanya, tindakan tegas itu diambil bagi memberi pengajaran terhadap premis yang mengabaikan aspek kebersihan sekali gus memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Sebelum ini, kita beri notis tutup 14 hari kerana kotor namun dalam jangka masa dua hari, mereka ini (kedai) buka semula setelah pemeriksaan semula dibuat oleh pegawai kesihatan.
“Bagaimana kedai yang tidak dicuci bertahun-tahun boleh bersih dalam masa tiga hari selepas diberi notis? Kita tidak mahu ini (berulang). Kalau diarah tutup 14 hari, maka hari ke 13 atau ke 14 barulah kita buat pemeriksaan semula,” katanya pada sidang akhbar ketika menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE