BANGI – Polis mengesahkan kertas siasatan kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor hampir selesai.
Bagaimanapun, pihaknya tidak akan menumpu kesalahan pada satu pihak sahaja dan akan menyiasat pihak mana yang didapati cuai menyebabkan kejadian itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan menyeluruh hampir selesai 85 ke 90 peratus untuk lengkap.
Katanya, kertas siasatan masih belum lengkap ekoran pasukan siasatan baru memasuki lokasi kejadian dan menghadapi kesukaran atas faktor tanah yang lembab.
“Dalam tempoh beberapa hari ini siasatan akan terus dilakukan di tempat kejadian oleh pasukan penyiasat.
“Kita tak boleh nak ‘bias’ mana-mana pihak yang didapati cuai dan cukup keterangan kita akan tuduh, kalau tak cukup keterangan pihak pendakwa raya atau DPP mendapati sebaliknya, itu terpulang,” kata beliau pada sidang akhbar Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor SUKSIS UKM 2022, di sini, hari ini.
Menurut Arjunaidi, pihaknya sudah merakamkan seramai 77 saksi keseluruhannya termasuk keluarga mangsa, anggota yang menerima maklumat pertama serta, terawal sampai di tempat kejadian dan juga pasukan penyelamat di kawasan kejadian.
“20 kenderaan tertimbus akan kenal pasti kepada pemilik melalui semakan laporan yang akan diserahkan atau pulangkan kepada pemiliknya.
“Siasatan tanah runtuh akan dibuat mengikut Seksyen 304 A, Seksyen 290 Kanun Keseksaan dan Akta Kerajaan Tempatan 1976,” ujar beliau. -KOSMO! ONLINE.