fbpx

Taman hijau terapi penghuni tirai besi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga banduan wanita sedang membuat landskap taman di blok tahanan banduan wanita, Penjara Simpang Renggam, Kluang, Johor.

SUDAH suratan takdir yang menentukan bahawa mereka diuji dengan cabaran terpaksa menghabiskan sebahagian sisa kehidupan di sebalik tirai besi.

Meskipun pahit untuk terima, namun itulah yang harus dilalui oleh tahanan-tahanan yang ditempatkan di sel Penjara Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Orang Kena Tahan (OKT) atau tahanan-tahanan di pusat itu terdiri daripada 1,380 banduan lelaki dan 120 wanita yang telah melakukan pelbagai kesalahan termasuk membunuh, penyalahgunaan dadah, penipuan serta penderaan kanak-kanak.

Antara taman bunga dan kebun sayur yang terdapat di blok banduan wanita, Penjara Simpang Renggam.

Pegawai Penjara Simpang Renggam, Timbalan Komisioner Penjara, Abdul Kadir Jailani berkata, sebelum OKT dimasukkan untuk menjalani hukuman penjara, mereka diibaratkan sebagai orang yang tidak diperlukan oleh masyarakat kerana enggan mematuhi undang-undang negara.

“Bagaimanapun, kami melihat terdapat ruang-ruang tertentu bagi memulihkan semula penghuni penjara ini. Ia bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan penghuni bahawa mereka juga merupakan aset berguna kepada negara.

“Usaha-usaha yang dilakukan ini diharap dapat membantu banduan di sini menjadi insan berguna kepada keluarga dan masyarakat apabila dibebaskan nanti.

“Kami juga sentiasa berharap mereka akan mematuhi undang-undang, selain tidak mengulangi semula jenayah yang dilakukan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menariknya, Penjara Simpang Renggam telah mengamalkan konsep mesra alam dengan mewujudkan sebuah taman hijau di blok banduan wanita.

KONSEP mesra alam yang diwujudkan di Penjara Simpang Rengam berjaya menyumbang kepada keindahan kawasan sekitar.

Menurut Abdul Kadir, konsep tersebut merupakan satu terapi kepada banduan yang secara tidak langsung menghilangkan rasa bosan mereka, selain menyumbang kepada keindahan kawasan tersebut.

“Keindahan taman ini menyebabkan mereka seolah-olah tidak berada dalam tembok batu. Sebaliknya, mereka seperti berada dalam sebuah taman.

“Ini membolehkan banduan duduk dalam keadaan tenang, selain memberi ketenteraman kepada psikologi mereka.

“Mereka akan menjadi lebih tenang, tidak berada dalam tekanan, sekali gus mampu menjadi asas kepada pemulihan banduan.

“Bagaimanapun, tanaman yang ditanam dipastikan tidak boleh dijadikan sebagai senjata untuk mencederakan diri atau tahanan lain,” katanya.

ABDUL KADIR

Sementara itu, salah seorang banduan wanita yang mahu dikenali sebagai Sara berkata, kehidupan di sebalik tembok batu bukan satu pengakhiran.

Kata ibu yang meniti usia 36 tahun itu, hukuman yang dikenakan sejak 2019 itu ibaratkan satu ujian daripada Allah SWT untuk menginsafkan dirinya.

“Setiap insan yang menghuni bumi penuh pancaroba ini sudah pasti akan berdepan dengan cabaran dan ujian daripada Sang Pencipta. Bezanya, ada orang diuji dengan sakit, masalah kewangan dan sebagainya.

“Saya pula diuji dengan kesilapan atau tersalah langkah apabila terlibat dengan penyalahgunaan dadah sehingga melalui episod sukar meringkuk di dalam penjara.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih diberi peluang bersujud kepada-Nya untuk mohon ampun di atas kesilapan lampau.

“Malah, aktiviti di taman ini menguatkan lagi semangat serta menjadi terapi buat kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI