PETALING JAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan pengurusan syarikat penerbangan Malindo Air untuk membuat permohon maaf kepada semua penumpang yang tersadai di lapangan terbang baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika memberi respons terhadap satu aduan yang dibuat kepadanya melalui Twitter.
Anthony berkata, pihak Malindo Air akan menghubungi semua penumpang yang terjejas sebagaimana yang dinyatakan pihak syarikat itu ketika dihubungi beliau.
“Salam Firdaus, saya dah hubungi pengurusan @malindoair. Mereka akan hubungi semua penumpang yang terjejas untuk memohon maaf dan mengambil tanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa penumpang ‘naik angin’ apabila dikatakan terpaksa menunggu selama lapan jam kerana pesawat tergendala.
Difahamkan, penumpang-penumpang tersebut sepatutnya berlepas ke Kuching, Sarawak pada pukul 11 malam, tetapi ditangguhkan sehingga pukul 6 pagi.
Salah seorang penumpang itu yang dikenali sebagai Mohd. Firdaus Jailan dalam satu video berlainan berkata, penumpang tidak disediakan tempat penginapan malah makanan atau minuman juga tidak diberikan.
Mohd. Firdaus kemudian telah meminta Anthony melakukan tindakan segera mengenai pengurusan Malindo Air yang didakwa tidak menjaga kebajikan penumpang. – KOSMO! ONLINE