BANDAR RAYA NEW YORK – Lebih 120 penumpang sebuah pesawat diarah keluar serta-merta sejurus tiba di lapangan terbang di New York selepas satu pengecas telefon bimbit terbakar dan mula mengeluarkan asap, lapor portal berita MailOnline.
Pesawat JetBlue yang berlepas dari Bridgetown, Barbados tersebut ketika itu baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK menjelang sambutan Krismas.
Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA), JetBlue dan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang New York dan New Jersey berkata, pesawat berkenaan sedang begerak ke pintu di Terminal 5 sekitar pukul 8.50 malam (waktu tempatan) ketika pengecas telefon bimbit membebaskan asap memenuhi kabin.
Kru penerbangan JetBlue 662 dengan pantas memadamkan kebakaran kecil itu namun, tujuh penumpang dilaporkan mengalami cedera ringan. Ia termasuk sesak nafas kerana terhidu asap serta lebam pada siku kerana saling bertolakan ketika cuba keluar dari pesawat.
Pasukan tindak balas pertama dan kru pesawat memindahkan 67 penumpang dari pesawat Airbus A320 itu menggunakan sistem gelongsor kecemasan manakala 60 lagi keluar mengikut pintu biasa.
Seorang penumpang yang duduk di barisan hadapan berkata, kapten pesawat bertindak pantas sejurus asap memenuhi ruang kabin.
“Kapten pesawat dengan pantas mengambil pemadam api dan bertindak dengan pantas untuk mengawal kebakaran.
“Dia amat hebat dan berjaya memadamkan api,” kata penumpang berkenaan.
Sementara itu, jurucakap JetBlue berkata, syarikat tersebut sedang menyiasat insiden itu berdasarkan penyelarasan pihak FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB). – Agensi