fbpx

Patuhi lampu isyarat, hormati hak pejalan kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PERNAHKAH anda berdepan situasi, melintas di laluan yang betul dengan lampu isyarat pejalan kaki menunjukkan warna hijau, namun tidak semena-mena ada kenderaan tidak mempedulikan kehadiran anda.

Lampu isyarat merah menandakan kenderaan lain mesti berhenti dan memberikan laluan kepada pejalan kaki, tetapi ada pula segelintirnya yang meneruskan perjalanan.

Situasi ini sering dilalui penulis ketika mahu melintas jalan sehinggakan setiap kali lampu isyarat pejalan kaki bertukar hijau, penulis perlu berhati-hati dan memerhati kenderaan yang masih laju.

Jika tidak berbuat demikian, boleh jadi sedar-sedar sudah berada di wad hospital dan pa­ling teruk mengalami kecacatan seumur hidup selain kehilangan nyawa.

Terdapat juga perkongsian rakyat Malaysia di TikTok sewaktu melintas apabila lampu isyarat pejalan kaki bertukar hijau, tetapi pemandu kenderaan tetap tidak berhati perut meneruskan perjalanan.

Berbeza pengalaman ketika bercuti di luar negara seperti Jepun, Korea Selatan atau Australia, pemandu memberhentikan kenderaan memberi laluan kepada pejalan kaki. Mungkin ada segelintirnya tidak, namun setakat ini penulis tidak pernah berdepan masalah itu.

Seiring status negara maju, pemantuhan rakyatnya terhadap peraturan jalan raya juga sa­ngat tinggi. Bagaimana pula bagi Malaysia untuk mencapai status tersebut sedangkan masih ada rakyatnya gagal mematuhi sekecil peraturan lampu isyarat.

Berpuluh-puluh tahun kempen keselamatan jalan raya telah dijalankan, bahkan berita menyayat hati kehilangan orang tersayang akibat kemalangan disiarkan, namun seolah-olah dipandang sepi.

Pensyarah Pusat Pemanduan Bijak, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, kegagalan seseorang mematuhi peraturan jalan raya adalah berkait dengan sikap.

“Mereka sedar bahaya, tetapi sikap ini melampaui kesedaran. Banyak faktor mempengaruhi dan dalam kajian Theory of Planned Behavior, kadang-kadang seseorang itu tahu, tapi dia ambil mudah kerana orang lain buat juga.

“Jadi dia pun buat. Kenapa kita tidak berjaya didik orang (berkaitan keselamatan jalan raya) sedangkan di sekolah kerajaan sudah ada subjek itu diper­kenalkan?

“Mungkin ibu bapa tidak memberikan contoh yang baik, jadi dia ‘tersekat’ di situ. Tingkah laku ini, dia akan buat apa yang dia tengok, justeru ini sebenarnya cabaran untuk mendidik berkaitan keselamatan jalan raya,” jelasnya.

Beliau berkata, faktor lain seperti tahap pendidikan turut mempengaruhi seseorang walaupun sedangkan dia sedar peraturan jalan raya itu perlu dipatuhi.

“Mungkin dia tahu atau tidak tahu banyak (perkara). Dia langgar lampu isyarat kerana merasakan pemandu kenderaan lebih besar daripada pejalan kaki ,” katanya.

Sehubungan itu, Munzilah berkata, dengan pelaksanaan pendidikan keselamatan jalan raya di peringkat sekolah, diharapkan akan melahirkan lebih ramai generasi yang akan mematuhi peraturan jalan raya.

“Generasi dewasa ketika ini tidak diperkenalkan dengan pendidikan keselamatan jalan raya. Mereka tahu (bahaya) dan masih tidak insaf.

“Pendek kata, mereka mementingkan diri. Misalnya situasi di lintasan belang (zebra crossing) yang mana pemandu sebenarnya perlu berhenti beri laluan kepada pejalan kaki sebaik melihat mereka berdiri di situ,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat, akan ada penambahbaikan dari segi sistem pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah sekali gus lebih ramai lagi golo­ngan dewasa kelak yang akan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI