DUNIA kembali kepada situasi normal pada 2022 selepas dua tahun melalui detik getir melawan pandemik Covid-19.
Namun di sebalik survival serta kebangkitan semua sektor termasuk industri hiburan, boleh dikatakan tahun ini bukanlah tempoh terbaik untuk Bollywood dengan tercetusnya beberapa kontroversi.
Paling ketara adalah ‘keberanian’ penggiat seni dan pembikin filem yang terserlah menerusi paparan foto bogel hingga ke penerbitan babak serta video sensasi.
Ranbir Kapoor berkasut di dalam kuil
FILEM Brahmastra yang menggandingkan Ranbir Kapoor dan Alia Bhatt menuai kritikan selepas satu babak menunjukkan aktor itu memakai kasut ketika memasuki kuil.
Ramai menyelar tindakan tersebut kerana didakwa tidak menghormati tempat suci yang menjadi rumah ibadah bagi penganut Hindu.
Sehinggakan ramai peminat mendesak supaya filem yang ditayangkan pada September lalu diboikot kerana tidak menitikberatkan perihal sensitiviti agama.
Pengarahnya, Ayan Mukerji bagaimanapun tampil mempertahankan Ranbir dengan berkata, aktor itu cuma memasuki Durga Pandal (tempat yang dibina sama ada sementara atau kekal berbentuk seperti khemah digunakan untuk acara besar seperti perkahwinan, festival atau perhimpunan), bukannya kuil seperti disangka ramai pihak.
Biarpun sudah membuat penjelasan, isu membabitkan filem Brahmastra masih menjadi bualan kerana Ranbir menyebut dia seorang yang memakan hidangan daging lembu.
Kenyataan tersebut sangat bertentangan dengan budaya dan kepercayaan masyarakat Hindu yang tidak makan daging lembu.
Menerusi naskhah tersebut yang turut dibintangi Amitabh Bachchan, Ranbir sekali lagi berdepan kontroversi kerana dilihat membuat kenyataan ‘body shaming’ kepada isterinya, Alia Bhaat yang sedang hamil ketika itu kerana berat badannya naik.
Kontroversi foto bogel Ranveer Singh
Kulit muka depan sebuah majalah keluaran Julai 2022 yang memaparkan aktor berusia 37 tahun, Ranveer Singh tanpa seurat benang mencetuskan pelbagai reaksi.
Ditonjolkan dalam beberapa aksi, paling menyerlah adalah keadaan pelakon itu berbaring di atas permaidani tanpa seurat benang dengan bahagian punggungnya terdedah.
Seorang pemerhati fesyen menyifatkan gambar tersebut seakan penghargaan terhadap aktor legenda Hollywood, Burt Reynolds yang menjadi artis muka depan majalah Cosmopolitan terbitan 1972.
Ini bukan kali pertama suami kepada aktres Deepika Padukone itu berbogel kerana dia pernah berbuat demikian dalam filem Befikre pada 2016.
Begitupun, keberanian Ranveer mengakibatkannya berdepan tindakan undang-undang selepas seorang peguam yang berpangkalan di Mumbai dan sebuah NGO membuat aduan kepada polis pada 25 Julai lalu.
Filem Pathaan didakwa tidak sensitif
Kontroversi filem Pathaan lakonan Shah Rukh Khan dan Deepika Padukone didakwa menyentuh sensitiviti penganut agama Hindu sehingga mencetuskan protes.
Tindakan tersebut dilakukan sekumpulan aktivis sebuah organisasi di Indore, India, minggu lalu yang beranggapan Raja Bollywood dan produksi Yash Raj Films tidak sensitif.
Mereka mendesak filem yang akan ditayangkan pada 23 Januari 2023 tersebut diharamkan selain meminta orang ramai memboikot.
Semuanya berpunca daripada video muzik Besharam Rang iaitu bahan promosi Pathaan yang menyaksikan Deepika mengenakan pakaian pantai seksi rona jingga.
Warna jingga dianggap suci sekali gus penggunaan dalam keadaan sebegitu dianggap sebagai satu penghinaan.
Jacqueline Fernandez terkait isu ‘conman’
Mempunyai 57 juta pengikut Instagram membuatkan peminat terkejut apabila ratu cantik yang juga aktres popular, Jacqueline Fernandez dikaitkan dengan penangkapan seorang ‘conman’ atau penipu bernama Sukesh Chandrasekhar.
Semuanya bermula pada 2021 sebaik mereka menunjukkan gambar intim dalam media sosial seolah-olah memberi bayangan hubungan tersebut lebih daripada seorang sahabat.
Sepanjang bercinta, lelaki itu memberinya pelbagai hadiah mewah seperti beg tangan Hermes, kuda, kereta Mini Cooper hingga tawaran membintangi filem Hollywood bergandingan dengan Leonardo DiCaprio.
Pada akhir tahun lalu, lelaki yang sebenarnya sudah beristeri itu ditahan atas kes penipuan membabitkan RM120 juta, manakala awal tahun ini Jacqueline pula ditahan bagi siasatan.
Biarpun dibebaskan selepas disahkan dia tiada kaitan dengan sindiket tersebut, pelakon itu kecewa ditipu hingga meminta media tidak mengganggunya.
Shah Rukh Khan umrah pertama kali
Bintang mega Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) mengejutkan peminat sebaik gambarnya yang lengkap memakai ihram sedang mengerjakan umrah buat pertama kali baru-baru ini tular.
Aktor berusia 57 tahun itu berada di Mekah diiringi beberapa pengawal usai menyempurnakan penggambaran filem Dunki yang menjalani penggambaran di Arab Saudi.
Pada masa sama, pelakon Kuch Kuch Hota Hai yang mengundang perhatian ramai apabila menyatakan hasrat kembali lagi ke Tanah Suci bersama anak-anaknya.
Sementara itu, nama SRK turut memanas selepas fotonya dibakar oleh peminat.
Semuanya tercetus kerana filem lakonan SRK dan Deepika Padukone, Pathaan menyentuh sensitiviti kerana memakai dres seksi warna jingga yang didakwa menghina warna suci kepercayaan penganut Hindu.