SEBERANG PERAI – Jabatan Pertanian Pulau Pinang yakin hasil pertanian di negeri ini khususnya melalui tanaman padi akan terus meningkat pada masa hadapan sekali gus membantu menambah pendapatan golongan petani.
Pengarahnya, Mohd. Muhaimin Ibrahim berkata, ini susulan kejayaan Pulau Pinang merekodkan hasil purata pengeluaran padi tertinggi negara sehingga mencecah 5.7 metrik tan sepanjang tahun lalu meskipun kawasan tanaman itu di negeri ini hanya seluas kira-kira 12,105 hektar sahaja.
Justeru katanya, tidak mustahil hasil yang lebih baik boleh dicapai sekiranya tumpuan dan bantuan kewangan khususnya diberikan kepada golongan berkenaan oleh kerajaan negeri.
“Secara keseluruhannya, jumlah yang diperuntukkan kerajaan negeri untuk pertanian pada 2019 hanya sebanyak RM3 juta setahun namun, jumlah itu meningkat kepada RM5 juta bermula 2020 iaitu pertambahan sebanyak RM2 juta untuk sektor pertanian selain peruntukan tambahan yang diberi secara ‘one-off’.
“Sehingga 2023, sebanyak RM6.9 juta diperuntukkan untuk sektor pertanian sahaja dan ini bermakna, kerajaan negeri sememangnya memberi perhatian terhadap sektor ini dengan harapan dapat membantu meningkatkan hasil pengeluaran selain menambah pendapatan petani, penternak, nelayan serta usahawan yang terlibat,” katanya di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE