pix – Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit setelah jengkaut yang dikendalikannya terjatuh ke dalam gaung di Jalan Assan Nunggang, di sini hari ini.
SIBU – Seorang lelaki warga emas maut apabila jengkaut yang dikendalikannya terjatuh ke dalam gaung di Jalan Assan Nunggang, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata dalam kejadian yang dilaporkan pada pukul 3.38 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai John Singke, 62, meninggal dunia di tempat kejadian akibat dihempap jentera berat itu.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikerahkan ke lokasi kejadian, dengan jarak ke lokasi dari jalan utama dianggarkan sejauh 400 meter dan anggota berjalan kaki ke lokasi kerana tiada akses untuk kenderaan ke lokasi.
“Komander operasi melaporkan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan ‘air lifting bag’ dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLIONE.