fbpx

Kakitangan SUK ditahan palsukan maklumat penerima Datuk, Datuk Seri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMLI Mohamed Yoosuf (tiga dari kanan) menunjukkan beberapa barangan seperti lambang dan pakaian yang dirampas dalam satu tangkapan berkaitan pengubahsuaian maklumat senarai penerima Datuk dan Datuk Seri di IPD Kuantan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis menahan dua kakitangan kerajaan negeri Pahang dipercayai menyalahgunakan nombor pekerja yang dibekalkan bagi mengubahsuai maklumat dan memasukkan senarai nama individu yang ditawarkan gelaran Datuk dan Datuk Seri tidak sah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan dua lelaki itu adalah hasil dari laporan yang dibuat seorang kakitangan kerajaan negeri yang curiga dengan senarai nama yang diperolehi.

Katanya, kejadian terbabit dipercayai bermula 12 Oktober tahun lalu yang mana pengadu dimaklumkan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang telah menerima panggilan telefon dari kakitangan Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, bertanya berkaitan nama seorang lelaki berbangsa India yang hendak memasukkan namanya dalam sistem rekod pingat dan darjah kebesaran Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

“Kejadian berlaku pada pukul 10 pagi yang mana pengadu kemudiannya telah membuat semakan dan mendapati nama lelaki India tersebut ada dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tetapi apabila semakan dibuat di dalam senarai induk (master list) di pejabat Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, pengadu mendapati bahawa nama individu itu tiada dalam senarai induk.

“Curiga dengan situasi terbabit menyebabkan pengadu mengambil tindakan lanjut termasuk membuat laporan polis,”katanya dalam sidang akhbar di Bilik Anggerik, Ibu Pejabat polis Daerah Kuantan, di sini, hari ini.

Ramli berkata, pengadu kemudiannya meminta kakitangan SUK Pahang untuk membuat semakan semula dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat mengenai kemasukan data individu yang tidak sah dan tidak sepatutnya berada dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat Negeri Pahang.

Katanya, setelah semakan dibuat, pengadu mendapati terdapat 29 nama individu yang mana nama serta butiran peribadi individu tersebut telah dimasukkan ke dalam sistem tersebut bagi tujuan menerima darjah kebesaran negeri Pahang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

“Pengadu kemudiannya telah membuat laporan polis dan siasatan telah dijalankan dan kes pada peringkat awal diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 sekali gus membawa kepada tangkapan dua kakitangan kerajaan negeri terbabit,”katanya.

Menurutnya lagi, hasil siasatan mendapati bahawa suspek pertama yang berusia 36 tahun bekerja sebagai pembantu operasi dan suspek kedua yang berusia 30 tahun bekerja sebagai pembantu tadbir di pejabat yang sama tetapi secara kontrak di Pejabat SUK Pahang.

“Siasatan lanjut mendapati bahawa kedua-dua suspek telah menyalahgunakan nombor pekerja mereka untuk akses ke dalam laman sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat Negeri Pahang dan membuat pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan laman sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang.

“Siasatan mendapati bahawa suspek pertama telah memasukkan nama seramai 26 individu yang tidak sepatutnya dimasukkan dan tidak disenaraikan sebagai indvidu yang akan menerima apa-apa jenis anugerah daripada Sultan Pahang dan suspek kedua telah memasukkan nama tiga individu bagi tujuan sama,” katanya.

Ramli juga memberitahu, kesemua 29 individu berusia antara 40 hingga 60 tahun yang disenaraikan secara tidak sah itu juga telah ditahan bagi membantu siasatan.-KOSMO!

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI