fbpx

Gaun Aina Abdul disamakan dengan pokok Krismas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA Abdul menggayakan gaun berwarna merah dan hijau rekaan Behati pada Konsert Kemuncak Pertandingan Bintang Kecil 2022 baru-baru ini.

PETALING JAYA – Fesyen unik penyanyi Aina Abdul sekali lagi menuai reaksi ramai apabila gaun dipakainya pada malam Konsert Kemuncak Pertandingan Bintang Kecil 2022 baru-baru ini disamakan dengan pokok Krismas.

Aina, 29, menggayakan gaun bersalut ‘taffeta’ berbentuk takhta bersama renda merah berlapis dengan baldu ungu serta turban yang berbentuk bunga mawar.

“Inspirasi pokok Krismas ke ni? Ya Allah, macam berlebihan pula tetapi suara tetap merdu didengar,” tulis seorang netizen.

“Aina lepas gian ke tu sebab dah lama tidak pakai pelik-pelik, malam ini dia bagi pokok Krismas,” kata netizen lain.

Bagaimanapun, terdapat juga netizen yang menyifatkan Aina sebagai ‘trendsetter’ apabila meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk artis Malaysia agar lebih berani dalam berfesyen.

“Aina sangat berani, dia tidak kisah dengan kecaman, dia meletakkan satu tanda aras yang tinggi untuk artis lain ikut.

“Kalau sekadar menyanyi bosan juga. Selain menyanyi dengan penjiwaan, baju juga adalah elemen yang terpenting,” komen seorang lagi netizen.

Sementara itu, menurut pereka fesyen jenama Behati iaitu Kel Wen yang menghasilkan gaun dipakai Aina, dia membayangkan sebuah takhta ketika menghasilkan baju tersebut.

Simboliknya adalah dengan membayangkan Aina duduk di takhta tersebut sekali gus menunjukkan penyanyi itu berkuasa dalam fesyen.

“Semasa saya mereka pakaian ini, saya memikirkan sebuah takhta. Dengan bunga mawar di kepala yang menjadi ‘trademark’ Aina, dia berada dalam kuasa fesyennya yang tersendiri,” tulisnya menerusi Instagram.

Tambahnya lagi, dia tidak kisah jika orang ramai menyamakan rekaannya dengan pelbagai benda kerana baginya, itulah maksud seni.

“Ada yang kata ‘look’ ini nampak macam kaktus, puding, tembikai, katak pun ada. Menarik untuk mendengar tafsiran berbeza tentang imej ini, itulah maksud seni,” kata Kel Wen.

Terdahulu, pelantun lagu Semalam itu kerap kali menuai perhatian netizen kerana sering tampil dengan imej fesyen pelik dan jauh berbeza dengan orang lain.

Dia jua pernah dikecam hebat apabila tampil dengan busana yang disamakan dengan plastik sampah ketika menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) Ogos lalu.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI