fbpx

Banjir sudah surut, air pula tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che ROHANA (kiri) bersama anaknya, Mastura Hidayu Abdul Manaf hanya mampu menjemur karpet yang basah akibat banjir berikutan terputus bekalan air di Kampung Serongga, Pasir Mas semalam.

PASIR MAS – Kira-kira 140 buah keluarga di Kampung Serongga, di sini berdepan kesukaran untuk membasuh rumah mereka yang dipenuhi lumpur akibat banjir apabila bekalan air bersih terputus sejak seminggu lalu.

Keadaan itu menyebabkan usaha mereka untuk member­sihkan rumah masing-masing yang ditenggelami air setinggi satu meter tergendala.

Che Rohana Ismail, 55, berkata, meskipun banjir surut, dia dan keluarganya tidak dapat berbuat apa-apa berikutan masalah tersebut.

“Rumah kami kotor dipenuhi lumpur dan tidak dapat membuat sebarang kerja-kerja pembersihan. Kami sebenarnya menggunakan telaga tiub untuk kegunaan harian.

“Disebabkan banjir, pam air telaga tiub turut rosak akibat ditenggalami banjir. Air paip kerajaan pula memang tiada air,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

SHAARI CHE NOH mengeluarkan barangan rumahnya yang rosak akibat banjir di Kampung Serongga, Pasir Mas semalam. – ROHANA ISMAIL

Che Rohana memberitahu, banjir kali ini menyebabkan semua kelengkapan rumahnya rosak termasuk katil, tilam, peti sejuk, mesin basuh dan televisyen.

Katanya, kerosakan kesemua barangan itu mengakibatkan dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM20,000 apabila rumah­nya tenggelam sehingga paras bumbung.

Seorang lagi penduduk Kampung Serongga, Pa’ Adek Abdullah, 55, berkata, dia terpaksa membeli pam air baharu yang dianggarkan bernilai RM500 sebuah untuk mengalirkan air dari telaga tiub yang dibina berse­belahan rumahnya.

Dia yang baru pulang dari pusat pemindahan sementara berkata, jika tidak membeli pam air tersebut, dia tidak akan dapat menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumahnya yang terjejas banjir.

“Banyak harta benda kami sekeluarga rosak. Semuanya perlukan wang untuk dibeli dan diganti terutamanya pam air ini.

“Ada penduduk yang cuba membaiki pam air yang rosak kerana tidak mampu membeli baharu. Mahu atau tidak, kami memang memerlukan pam air untuk membersihkan rumah dengan kadar segera,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI