PETALING JAYA – Kebanjiran pelancong Nusantara ke Korea Selatan membuatkan kerajaan sana mula menggunakan Bahasa Melayu pada kebanyakan papan tanda khususnya di kawasan tumpuan pelancong.
Perkara tersebut dikongsi oleh Zakaria Azizi di akaun Facebooknya di dalam kumpulan Malay Dialects (Indonesia, Malaysian and Other Malay Variants).
“Kerajaan Korea Selatan berbesar hati untuk melakukan usaha itu bagi memudahkan masyarakat Nusantara yang datang berkunjung untuk mendapatkan maklumat.
“Bukan itu sahaja, jumlah pelancong Malaysia dan Indonesia yang bertandang ke negara itu juga semakin meningkat saban hari membuatkan Bahasa Malaysia mula digunakan pada papan tanda di sana,” katanya.
Walaupun terdapat beberapa penggunaan Bahasa Melayu yang agak kurang tepat, namun usaha yang dilakukan kerajaan Korea Selatan harus diberi pujian.
Selain Bahasa Melayu, terdapat juga beberapa bahasa pada papan tanda tersebut seperti Bahasa Inggeris, Mandarin, Jepun dan Bahasa Indonesia.
Bahasa Melayu merupakan bahasa keenam paling banyak dituturkan di dunia dengan sebanyak 290 juta manusia merentasi Selat Melaka, termasuklah pantai-pantai di Semenanjung Malaysia dan pantai timur Sumatera.
Bahasa Melayu berada dalam keluarga Austronesia dan Malayo-Polynesia – bahasa utama di Malaysia, Brunei, Singapura dan salah satu bahasa di Indonesia. – KOSMO! ONLINE