GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan 11 nelayan warga asing dalam operasi berasingan di perairan negeri ini pada 22 dan 24 Disember lalu.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua nelayan terbabit ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja.
Menurut beliau, tangkapan pertama dilakukan ketika menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 25 kilometer dari barat Pulau Kendi sekitar pukul 4.17 petang, 22 Disember lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak ini dikendalikan lima nelayan warga asing iaitu tiga warga Myanmar dan dua warga Thailand yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 19 hingga 52 tahun.
“Mereka juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam operasi berbeza, sebuah bot nelayan Indonesia pula ditahan pada kedudukan 96 kilometer dari Pulau Kendi pada pukul 12.10 tengah hari, 24 Disember lalu dalam rondaan Op Tanjung.
“Bot nelayan asing yang berpangkalan di Belawan, Indonesia itu dikendalikan enam kru warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 42 tahun. Kesemua mereka didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya.- KOSMO! ONLINE