JEMPOL – Tindakan pantas seorang lelaki memberhentikan kenderaan sebaik menyedari kereta dinaiki terbakar membantu menyelamatkan nyawanya serta isteri dalam kejadian di persimpangan empat lampu isyarat Bandar Sri Jempol, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.44 petang itu, kereta jenis Chery Easter dinaiki mangsa, A. Maniyarasan, 50-an bersama isterinya musnah 70 peratus akibat kebakaran terbabit.
Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Mohd. Hazreen Mohd. Zahar, sebaik tiba di lokasi, api sedang marak sebelum kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian.
“Kejadian disedari oleh mangsa yang dalam perjalanan dari arah Muazzam, Pahang ke kediamannya di Rantau melihat asap keluar daripada kereta berkenaan ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut.
“Mangsa kemudiannya memberhentikan kenderaan tidak jauh dari persimpangan lampu isyarat tersebut. Mangsa dan isterinya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE