PETALING JAYA – Dua daripada lima wilayah yang terjejas bekalan air susulan henti tugas sementara dua Loji Rawatan Air (LRA) sejak Sabtu lalu telah pulih sepenuhnya.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, dua wilayah tersebut adalah Kuala Langat dan Putrajaya, manakala tiga lagi wilayah masih dalam proses pemulihan.
Jelas Air Selangor, bagi Sepang, 95 peratus kawasan itu telah pulih sepenuhnya sehingga pukul 1 tengah hari tadi.
“Bagi daerah Hulu Langat pula, kawasan yang pulih mencapai 91 peratus, manakala Petaling hanya 71 peratus.
“Secara kesuluruhan pemulihan bagi kawasan yang terjejas adalah kira-kira 86 peratus dan tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,”katanya di laman Facebook sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Air Selangor berkata, para pengguna yang telah mendapat bekalan air dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Terdahulu, Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan sebanyak 472 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula pukul 7 pagi.
Gangguan itu ekoran henti tugas sementara dua LRA iaitu Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi selepas insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
Siasatan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati insiden berpunca tumpahan cecair daripada lori yang membawa muatan pati minyak wangi terbabit kemalangan di Kilometer 44.1 Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia iaitu sekitar enam kilometer dari sempadan Selangor.-KOSMO! ONLINE