IPOH – Kebakaran sebuah kenderaan di Kilometer (km) 259 arah selatan dari Kuala Kangsar ke Ipoh di Lebuh Raya Utara-Selatan menyebabkan kesesakan sejauh 17 kilometer hari ini.
Menurut ciapan Lebuh Raya Utara-Selatan, lorong kiri di tempat kemalangan masih lagi ditutup, dengan kesesakan awal di lokasi tersebut pada awalnya direkodkan sejauh 5 km sebelum kini menjadi 17 km.
“Status terkini lorong kiri masih ditutup. Trafik sesak 17 km. Sila rancang perjalanan anda dan pandu berhati-hati. Harap maklum,” ciapnya.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kebakaran tersebut melibatkan sebuah kereta jenis BMW yang musnah 90 peratus.
Katanya, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang mangsa dengan tindakan pemadaman telah diambil dan selesai sepenuhnya pada pukul 5.04 petang tadi.
Menurut hantaran seorang pengguna Facebook, Nurul Atikah Mohamad Zakaria pula, kesesakan itu berlaku berhampiran Terowong Menora, dengan penumpang kenderaan itu berjaya menyelamatkan diri. – KOSMO! ONLINE