fbpx

Keputusan tanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO belum dibuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD MASLAN ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, Api-Api, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak pada pemilihan parti akan datang, masih belum dibuat.

Menurut Ahli Parlimen Pontiam itu, tiada sebarang ketetapan mengenai perkara itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), sehingga hari ini.

Katanya, perkara itu mungkin diputuskan pada Mesyuarat MKT Khas yang akan diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlangsung iaitu pada malam 12 Januari nanti.

“Itu (sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan) kita tunggu. Tidak ada sebarang keputusan mengenainya setakat hari ini.

“Kita tunggulah. Januari nanti MKT UMNO ada mesyuarat bulanan seperti biasa dan satu lagi kita ada Mesyuarat Khas MKT yang secara tradisinya akan diadakan pada malam sebelum PAU diadakan.

“Mesyuarat Khas MKT kali ini akan diadakan pada malam 12 Januari sebelum PAU diadakan keesokannya. Malam itu mungkin akan diputuskan mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, di Api-Api, di sini, hari ini.

Semalam, EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, dilaporkan berkata, UMNO akan menempah episod hitam sekali lagi jika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan.

Muhamad Muqharabbin berkata, kedua-dua jawatan berkenaan wajar dipertandingkan dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan.

Beliau dilaporkan berkata, sekiranya benar terdapat usaha untuk menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, UMNO akan semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

Pada 8 Disember lalu, UMNO dilaporkan menafikan terdapat sebarang perbincangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pontian dilaporkan berkata, isu itu juga langsung tidak berbangkit atau dibincangkan pada Mesyuarat MKT yang diadakan pada 7 Disember lalu.

Sehubungan itu, Ahmad mengecam penularan infografik, kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan ditandingi yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawan sekali gus menimbulkan keresahan akar umbi parti.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI