AMPANG JAYA – Kegiatan dua sekawan lelaki warga asing memecah masuk kedai pakaian terbongkar selepas ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Pandan Indah, di sini, pada Jumaat dan semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada pukul 9 pagi, jumaat lalu, pekerja kedai itu menyedari pintu masuk premisnya dalam keadaan terbuka dan kehilangan barang bernilai sekitar RM10,000.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati dua mangga pada pintu masuk telah dipotong dan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) merekodkan dua lelaki memecah masuk kedai tersebut sebelum mencuri barang-barang di dalamnya.
“Hasil maklumat yang diperolehi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Domestik (BSJD) Ampang Jaya berjaya menangkap dua lelaki warga asing berusia 20 dan 22 tahun.
“Suspek pertama ditahan sekitar pukul 11.40 pagi, Jumaat lalu. Penangkapan tersebut membawa kepada penahanan suspek kedua sekitar pukul 1.20 pagi, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini
Menurut Farouk, suspek kedua sahaja mempunyai rekod jenayah lampau dan kedua-dua mereka disahkan positif dadah jenis amphetamine.
Ekoran penangkapan itu, polis turut merampas beberapa barang seperti laptop, peti simpanan duit, alatan spanar, pelbagai jenis telefon bimbit, jam tangan berjenama serta alat kawalan jauh kereta mainan.
“Modus operandi suspek menyasarkan memecah masuk premis seperti kedai dan siasatan mendapati suspek turut melakukan jenayah pecah kedai sebanyak dua kali dalam daerah Ampang.
“Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat dan Sabtu ini.-KOSMO! ONLINE