DALAM kemeriahan sambutan Krismas dan tahun baharu, penduduk Romania turut tidak melupakan tradisi yang masih diraikan terutama di wilayah Bucovina dan Moldova.
Sebagai simbolik menyambut tahun baharu, tradisi tarian beruang adalah aktiviti tahunan yang diwarisi sejak zaman nenek moyang.
Malah, beruang ialah haiwan kuno yang dianggap suci di Romania. Beruang juga adalah haiwan suci yang mempunyai kuasa penyembuhan.
Kitaran hidup beruang bertanggungjawab untuk mengawal selia musim dengan melakukan hibernasi sebelum musim sejuk dan bangun pada musim bunga.
Berbeza dengan tradisi lain yang diraikan di Romania pada setiap tahun, tarian beruang merupakan lambang kematian dan kelahiran semula masa.
Ia juga merupakan ritual purba yang menghimpunkan seluruh komuniti untuk menonton persembahan tersebut.
Berlangsung pada setiap musim sejuk di kampung dan bandar di wilayah timur Romania, tarian beruang bermula sejak zaman pra-Kristian dengan penari yang terlibat akan memakai kostum beruang sebenar.
Kostum beruang itu lengkap dengan kepala dan gigi serta dihiasi dua jumbai merah besar yang disematkan pada kedua-dua belah bahu.
Tarian beruang melibatkan lelaki dan perempuan daripada semua peringkat umur. Penari akan menari mengikut irama seruling dan gendang untuk menghalang roh jahat sebelum memulakan tahun baharu.
Secara tradisinya, tarian yang melibatkan antara enam hingga 24 orang itu akan berarak di setiap rumah di kawasan penempatan sambil diiringi tiga penjinak beruang (ketua perarakan) serta pemain dram.
Penjinak beruang akan memakai kostum gaya tentera merah, tali pinggang dan but kulit tinggi. Mereka juga menyarung topi baldu merah yang dihias indah dengan pompon besar.
Pemuzik pula akan memakai pakaian tradisional Romania yang biasanya berwarna putih dengan motif hitam bersulam sambil mengikat reben merah, kuning serta biru sebagai tali pinggang.
Beberapa watak yang memakai pakaian wanita termasuk skirt berlipat panjang dan selendang akan mengiringi rombongan itu.
Ketibaan perarakan akan diumumkan oleh penyanyi yang biasanya dianggotai oleh gadis dan lelaki muda dikenali sebagai irozi.
Mereka akan meniup wisel mengikut irama yang telah ditetapkan oleh penjinak beruang.
Sementara itu, ketua penjinak adalah koreografer utama dan pengarah majlis kerana dia bertanggungjawab menentukan setiap pergerakan dengan memberi isyarat.
Dengan mengenakan pakaian seberat 50 kilogram, penari utama (penjinak) akan mengetuai formasi tarian sebelum diikuti oleh beruang-beruang lain.
Biasanya, koreografi tarian mengambil inspirasi daripada cara penduduk Romania menjinakkan dan memburu beruang.
Ia juga dipercayai merupakan tarian yang sama diamalkan sejak turun-temurun.
Walaupun tradisi tersebut masih diamalkan di kampung, namun di bandar-bandar ia diraikan dalam bentuk perarakan secara besar-besaran.