HULU SELANGOR- Faktor cuaca dan keadaan geografi yang berisiko tinggi antara cabaran utama buat anggota mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu, operasi yang telah berjalan selama hampir 10 hari, telah berjaya dilaksanakan sebaik mungkin oleh semua petugas.
“Sepanjang operasi SAR, perkara yang sentiasa diberi penekanan adalah keselamatan anggota. Alhamdulillah, nasib menyebelahi kita, semua petugas dalam keadaan baik dan selamat.
“Bukan sahaja cuaca, tetapi keadaan geografi yang berisiko tinggi turut mencabar buat anggota penyelamat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Ujarnya Acryl Sani, dari segi tenaga kerja dan aset-aset jentera berat, semua pihak berganding bahu secara rapat membuatkan operasi dapat dijalankan dengan sangat baik.
“Menurut statistik, hampir 12 buah jentera berat telah digerakkan oleh pihak swasta dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu melancarkan operasi SAR kali ini,”jelasnya.
Pada masa sama, Acryl Sani turut menzahirkan ucapan terima kasih buat pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersemangat untuk membantu pihak operasi SAR pada awalnya. – KOSMO! ONLINE