fbpx

RM15 juta tajaan aksesori, kenduri guna duit sendiri – Reen Rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA: Belum selesai majlis resepsi, jumlah tajaan perkahwinan RM15 juta pelakon Reen Rahim sudah mencetuskan pertikaian banyak pihak pihak.

Enggan membiarkan netizen terus tertanya-tanya, aktres yang kini bergelar isteri kepada ahli perniagaan itu menegaskan, nilai jutaan merujuk kepada barang kemas digayakan bagi ketiga-tiga majlis hari bahagianya.

“Sebenarnya tajaan mencecah jutaan ringgit untuk majlis perkahwinan kami yang disebutkan sebelum ini menjurus kepada nilai set barang kemas serta aksesori bagi acara berinai, akad nikah dan resepsi.

“Jumlah itu tidak membabitkan elemen lain seperti upah perancang perkahwinan, bayaran hidangan untuk tetamu serta beberapa lagi perincian lain.

“Ramai menyangka keseluruhan majlis mendapat tajaan sepenuhnya dan diberi dalam  bentuk wang tunai, sedangkan itu hanya tanggapan orang.

“Semua yang ada pada majlis berinai semalam, pernikahan  malam ini (malam tadi) dan bersanding esok (malam ini) saya bayar sendiri kecuali aksesori yang saya gayakan ditaja Cares Gold.

“Sudah tentu saya takkan laburkan sebanyak itu untuk majlis perkahwinan andai saya ditaja dalam bentuk wang. Lebih baik sedekahkan kepada golongan memerlukan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon Suamiku Gangster itu berkata demikian selepas majlis pernikahannya dengan Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin, 28, di Boraombak Marina, Putrajaya, malam tadi.

Kata pengantin baharu yang belum mempunyai perancangan berbulan madu itu, dia perlu memberikan kenyataan berhubung bentuk tajaan supaya tidak mencetuskan salah faham.

Pada majlis pernikahannya, pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abd. Rahim turut menerima wang tunai RM1,988 serta sedulang emas sebagai mas kahwin, beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh.

Mengenai bulan madu, Reen belum terfikir merencana sebarang percutian, berikutan komitmen yang masih perlu dilunaskan.

“Setakat ini kami belum berbincang disebabkan saya perlu kembali ke set penggambaran sehari selepas majlis resepsi.

“Perancangan mahu nikah dan adakan tiga majlis pun sebulan sebelum bertunang sampai tak sempat fikir perkara lain. Insya/Allah kita perincikan selesai kenduri nanti,” katanya.

Reen, 34, sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya itu hanya selepas empat bulan menjalin pertunangan.

Pasangan tersebut bertemu buat kali pertama di lokasi penggambaran filem Daddyku Gangster yang membuatkan mereka semakin akrab hingga ambil keputusan bertunang pada Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI