fbpx

Piala AFF: Faisal belum fikir tentang ‘kasut emas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faisal yang akan menyarung jersi Selangor FC tahun depan sudah meledak tiga gol dan berkongsi kedudukan bersama penyerang Filipina, Kenshiro Daniels. - Foto ihsan FAM

KUALA LUMPUR – Penyerang sensasi skuad Harimau Malaya, Faisal Halim bersedia untuk melunaskan hasrat ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk melihat dirinya menjadi penjaring terbanyak sekali gus meraih kasut emas pada kempen Piala AFF 2022 kali ini.

Sebagai rekod, Faisal telah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri apabila meledak dua gol menerusi tandukan selepas skuad kebangsaan merekodkan kemenangan bergaya 5-0 pada perlawanan menentang Laos semalam.

Lebih menarik, jaringan tersebut telah menyaksikan Faisal kini mencetak enam gol dalam empat perlawanan antarabangsa terakhir termasuk dua aksi persahabatan bertemu Kemboja dan Maldives sebelum ini.

Namun, Faisal mengakui anugerah peribadi bukanlah keutamaan sebaliknya ia adalah tanggungjawab besar yang perlu dipikul dalam usaha membantu pasukan mencapai prestasi yang diharapkan.

“Ini sebenarnya satu tanggungjawab besar dan saya ambil cabaran yang diletakkan oleh jurulatih.

“Dia (Pan-gon) pesan kepada saya dan saya lihat riak wajahnya yang memang benar benar mahukan saya menjadi penjaring terbanyak.

“Secara peribadi, ini bukanlah soal utama kerana bukan gol yang saya cari tetapi saya mahu bawa pasukan ke tahap yang lebih jauh dan siapa yang jaringkan gol tidak penting asalkan kami menang dan layak ke final.

“Gol-gol yang saya lakukan adalah rezeki dan bukan bermakna saya hebat atau layak digelar pemain bintang kerana pujian wajar diberikan kepada rakan sepasukan yang lain untuk memastikan saya berada di tahap ini,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi pemain yang mesra dengan panggilan ‘Mickey itu’, Pan-gon menegaskan dia adalah pemain yang baik namun tumpuan perlu diberikan kepada keseluruhan pasukan.

“Semua tahu saya tidak suka bercakap mengenai prestasi individu sebaliknya fokus kepada satu pasukan. Namun, dia (Faisal) memang pemain yang bagus,” kata pengendali import dari Korea Selatan itu.

Buat masa ini, Faisal yang akan menyarung jersi Selangor FC tahun depan sudah meledak tiga gol dan berkongsi kedudukan bersama penyerang Filipina, Kenshiro Daniels. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI