PETALING JAYA – Seramai 30 pengamal media mewakili 10 agensi menyertai Pertandingan Menembak Pistol Tentera Darat (TD) Bersama Media 2022, di Lapang Sasar Tertutup 25 Meter, Kem Perdana Sungai Besi, semalam.
Dimulakan dengan latihan tembakan pelarasan di antara pegawai kanan dan media, pertandingan diteruskan dengan menembak kategori ‘centre fire target’ berpasukan diikuti dengan ‘rapid fire target’ dan diakhiri dengan acara menembak jatuh piring berpasukan.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang turut meluangkan masa menyertai acara itu berkata, penganjurannya bermatlamat mengeratkan lagi hubungan dengan media.
“Selain mengeratkan hubungan baik di antara TD dan media yang banyak memberikan liputan meluas kepada TD, pertandingan ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap kompetensi dan kemahiran Pegawai Kanan TD,” katanya.
Dalam pertandingan tersebut, Utusan Malaysia muncul juara keseluruhan manakala wartawan Kosmo!, muncul sebagai pemenang tempat keempat kategori individu sekali gus berjaya membawa pulang plak dan syiling Panglima TD. – KOSMO! ONLINE