BESUT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pekerja syarikat penyelenggaraan yang dilaporkan terjatuh dari tingkat lima Taman Rekreasi Lata Tembakah, Hulu Besut di sini pada Khamis lalu membuah hasil apabila mayatnya ditemui pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat Abdul Wahab Mat Sulaiman, 27, yang berasal dari Kampung Durian Telor, Jerteh di sini dijumpai pada pukul 8 pagi selepas tiga hari operasi pencarian mangsa.
“Selepas lebih 60 jam operasi mencari, mayat mangsa ditemui oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat dalam keadaan terapung di tingkat dua air terjun hutan lipur berkenaan.
“Mayat lelaki tersebut berjaya diturunkan dan dikeluarkan dari taman rekreasi itu pada pukul 10 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, mayat Abdul Wahab telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan mangsa dilaporkan terjatuh dari tingkat lima air terjun ketika sedang membaiki saluran paip sebelum operasi carilamat diaktifkan.
Operasi disertai anggota pelbagai agensi termasuk penduduk kampung itu kemudiannya menemui sehelai baju dan sarung golok di tingkat dua dan tiga air terjun pada semalam. – KOSMO! ONLINE