PETALING JAYA – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah beroperasi semula selepas bacaan tahap 0 ton direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, pengoperasian semula itu membabitkan proses pembersihan dan rawatan air yang mengambil masa kira-kira 12 jam.
“Selepas proses pembersihan dan rawatan itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada pengguna,” katanya di sini tadi.
Semalam, dua LRA iaitu Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) berdekatan Bandar Serenia di Negeri Sembilan.
Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut telah menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Susulan insiden pencemaran bau itu, sebanyak 472 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – KOSMO! ONLINE