SIRI pergolakan rumah tangga antara pelakon Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof kembali memanas apabila timbul dakwaan mengatakan bahawa pengarah tersohor itu sebenarnya sudah pun berkahwin dengan wanita yang didakwa menjadi orang ketiga dalam hubungannya, Ira Kazar.
Memasuki episod baharu, Sarah atau nama lengkapnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin pada 21 Disember lalu secara terang-terangan mendedahkan bahawa Syamsul sudah pun berkahwin dengan Ira menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Insta Story miliknya.
Enggan dilihat sebagai seorang wanita yang lemah, Sarah bertindak lantang apabila mengungkap harapannya agar semua penipuan dan perkara yang disembunyikan suaminya dan juga Ira akan terbongkar sendiri suatu hari nanti.
Bahkan, ibu kepada dua orang cahaya mata itu juga menyifatkan Syamsul dan Ira sebagai penipu serta individu toksik.
“Soroklah selagi boleh dan kebenaran akan terbongkar nanti. Individu narsisistik seperti anda akan sentiasa memanipulasi kebenaran.
“Saya tidak mahu hadap dengan perkara toksik. Penipu akan sentiasa menjadi penipu. Selamat maju jaya kepada anda berdua, kedua-duanya individu toksik!” ujar Sarah.
Situasi semakin membahang apabila Syamsul pula tampil bersuara dan membidas dakwaan mengatakan dirinya sudah pun berkahwin dengan Ira tidak benar sama sekali.
Malah, dia juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebanyak RM10 juta kerana mendakwa telah mengeluarkan maklumat tidak benar kepada keluarganya.
Syamsul ketika dihubungi Pose memaklumkan, perincian tindakan saman terhadap agensi kerajaan tersebut akan diberitahu dalam masa terdekat selepas perbincangan dibuat bersama peguamnya.
“Saya akan saman pihak Jawi sebanyak RM10 juta kerana mereka telah mengeluarkan satu kenyataan fitnah terhadap saya yang tidak benar dan boleh dikatakan palsu.
“Mereka telah memberikan maklumat yang tidak benar itu kepada keluarga saya sedangkan info tersebut sekali lagi, tidak benar, palsu dan bersifat fitnah,” tegasnya.
Kata pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu lagi, tindakan tersebut wajar diambil atas apa yang berlaku terhadap diri dan perkahwinannya dengan isteri.
Tidak berdiam diri dengan kenyataan Syamsul, Sarah menghangatkan suasana apabila meluahkan kemusykilan terhadap tindakan suaminya itu yang secara tiba-tiba mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Jawi.
Tambah Sarah, 37, dia yakin perkara tentang perkahwinan suaminya dengan anak kepada pelakon veteran, Kazar itu adalah benar dan hanya menunggu masa untuk kebenaran didedahkan kepada umum.
“Fitnah? Okey kebenaran akan terbukti. Benda macam ini tiba-tiba muncul. Tiba-tiba nak saman. Untuk apa?
“Benda baik itu umumkan sebelum menimbulkan fitnah dan prasangka buruk daripada keluarga anda sendiri,” jelasnya.
Malah pelakon drama Sabarlah Duhai Hati itu turut menegaskan ini adalah masa terbaik untuk berterus terang mengenai gosip statusnya dengan Ira.
“Jadi betullah gosip itu? Okey mengaku sajalah kan. Inilah masanya untuk anda mengaku segalanya,” tulisnya dalam satu lagi hantaran InstaStory.
Konflik ‘tiga segi’ antara Sarah, Syamsul dan Ira umpama sebuah siri drama yang dipaparkan dalam kehidupan realiti. ‘Popcorn’ sudah habis, namun sehingga kini episod kisah mereka masih berpanjangan.
Apa yang pasti, tahun hadapan netizen akan dihidangkan dengan kisah baharu apabila Sarah tetap akan meneruskan tindakan saman terhadap Ira atas dakwaan mengganggu rumah tangganya dalam satu perbicaraan di mahkamah pada Ogos 2023 nanti.