fbpx

Jalan balak rosak, Orang Asli usung motosikal redah sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Orang Asli Pos Balar bekerjasama mengusung motosikal ketika melalui Sungai Inching, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Seramai 15 penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini terpaksa meredah sungai dengan mengusung 13 buah motosikal untuk keluar ke bandar Gua Musang semalam.

Mereka juga terpaksa mengambil masa kira-kira 10 jam untuk sampai ke bandar ini apabila perlu melalui laluan jalan balak yang rosak dan meredah air Sungai Inching yang naik akibat hujan.

Seorang penduduk Orang Asli Kampung Tidag, Pos Balar, Sari Din, 25, berkata, kebiasaannya, mereka hanya mengambil masa lima jam untuk ke bandar Gua Musang.

Katanya, cuaca hujan sejak lebih seminggu lalu menyebabkan keadaan jalan berselut dan paras air sungai meningkat.

“Kami bertolak dari rumah pada pukul 7 pagi dan sampai ke bandar pukul 5 petang. Kami terpaksa bermalam di rumah tum­pangan di bandar Gua Musang sebelum bertolak balik pagi ini (semalam).

“Kami keluar secara berkumpulan bagi memudahkan urusan membantu rakan lain untuk mengusung atau menolak motosikal yang tersangkut dalam lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Sementara itu, Abu Alang, 41, berkata, dia sendiri terpaksa menunggang motosikal meredah lumpur dan sungai untuk ke bandar Gua Musang.

Katanya, mereka keluar untuk membeli barang keperluan makanan yang sudah kehabisan.

“Semasa musim hujan setiap tahun, golongan wanita terma­suk warga emas perlu melalui cabaran jalan rosak dan meredah sungai.

“Kami sudah lali kerana hanya itu jalan perhubungan kami sejak turun-temurun,” jelasnya.

Tambahnya, mereka makan ubi kayu dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri sejak seminggu lalu sebelum keluar membeli barangan kering di bandar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI