fbpx

Jakoa hantar 21 tan bekalan makanan ke kampung Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roslina (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff (kanan) membantu menghantar bekalan makanan kepada Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang hari ini.

GUA MUSANG – Sebuah helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar 21 tan bekalan makanan di enam buah pos penempatan Orang Asli di sini yang terputus hubungan akibat musim tengkujuh sejak seminggu lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Roslina Bun berkata, semua bekalan makanan itu dihantar menggunakan helikopter Mi-17-IV berikutan jalan darat ke kawasan itu tidak boleh dilalui disebabkan kejadian tanah dan jambatan runtuh.

Katanya, bekalan makanan seperti beras, makanan tin dan barangan makanan lain itu dihantar kepada 1,400 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli termasuk di Pos Gob, Pos Simpor, Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai.

“Jakoa mengambil inisiatif untuk menghantar bakul makanan ke pos Orang Asli yang terlibat termasuk ke pos penempatan paling jauh iaitu Pos Gob apabila sebuah jambatan kayu menghubungkan kampung ini telah runtuh.

“Kita berharap keadaan cuaca bertambah baik dan bantuan makanan yang kita hantar ini diharapkan dapat meringankan beban masyarakat Orang Asli yang tidak dapat keluar ke bandar Gua Musang,” katanya.

Sementara itu, juruterbang Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Azuna Mohamed Sabri berkata, kesemua kru penerbangan terlibat dengan bantuan banjir di Wakaf Tapai, Terengganu sejak seminggu yang lepas sebelum tiba di Gua Musang bagi meneruskan bantuan di daerah ini.

Katanya, penerbangan melibatkan sembilan orang anggota.

“Bermula hari ini, kami akan menghantar bekalan makanan ke perkampungan Orang Asli dan mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari untuk operasi berkenaan.

“Operasi ini sepatutnya bermula semalam, namun keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, jadi kita terpaksa melakukan penerbangan hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI