PEMAIN sayap baharu Selangor FC, Faisal Halim berharap dapat diberikan jersi No. 7 bagi mengikuti jejak langkah idolanya, Cristiano Ronaldo, sekali gus memberikan ‘tuah’ bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Sebagai rekod, Faisal telah diperkenalkan secara rasmi menjadi pemain baharu Gergasi Merah pada Khamis lepas setelah kontraknya bersama kelab Terengganu FC (TFC) berakhir bulan lalu.
Menurut Faisal, jersi No. 7 yang sering dipakai ketika mewakili TFC dan skuad kebangsaan sememangnya memberikan suntikan motivasi tambahan buatnya untuk memberikan yang terbaik di atas padang.
“Saya harap dapat kekalkan jersi No. 7 (yang dipakai sebelum ini) kerana itu adalah semangat saya. Malah, saya cukup puas apabila dapat menjaringkan gol serta meraikan jaringan jika menyarung jersi tersebut.
“Malah, wira bola sepak saya adalah Ronaldo dan saya mahu berbakti seperti pemain bintang itu selain dihormati ramai, sekali gus menjadi watak penting buat pasukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemain berusia 24 tahun itu juga mengakui tidak sabar untuk memulakan kempen musim baharu selain menganggap penghijrahan ke skuad Gergasi Merah sebagai langkah yang tepat dalam kariernya.
“Selangor adalah satu pasukan yang besar, semua orang ingin bermain untuk kelab ini. Alhamdulillah, saya dah sampai ke laman Gergasi merah kerana ini yang dinantikan.
“Saya yakin mampu mempamerkan persembahan yang baik dan memberikan kelainan. Sasaran saya adalah mahu membantu pasukan kembali digeruni musim depan,” katanya.
Faisal menjadi pemain ketiga yang ditandatangani oleh Selangor FC pada jendela perpindahan kali ini selepas V. Ruventhiran dan Ahmad Khuzaimi Piee.