KOTA KINABALU – Dua lelaki cedera selepas kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar tembok di tingkat tiga kompleks beli belah di Asia City hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 30 tahun mengalami cedera ringan apabila kereta dinaiki terjunam ke tingkat dua.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.56 pagi sebelum sepasukan bomba bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Laporan mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios terbabas di tingkat tiga tempat letak kereta lalu melanggar tembok dan terjunam ke tingkat dua.
“Terdapat dua mangsa dan mereka keluar sendiri daripada kereta berkenaan dan mengalami cedera ringan,” katanya.
Menurutnya, mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pada pukul 11.59 pagi. – KOSMO! ONLINE