KUALA LUMPUR – Pelakon Amerul Affendi menaruh harapan diberi peluang menggalas peranan sebagai lelaki romantis yang dirasakan mempunyai cabaran tersendiri.
Sinonim dengan pelbagai watak, sama ada dalam naskhah genre berat, komedi mahupun aksi, kata Amerul, penerbit atau pengarah masih teragak-agak menawarkannya terbabit dalam kisah cinta.
“Sejujurnya saya teringin bawa cerita cinta sebab sepanjang 14 tahun terbabit dalam kerja lakonan, saya banyak buat watak hitam, lasak, komedi dan sebagainya, tetapi bukan figura romantik.
“Tentu saja saya mahu mencungkil sisi halus lain yang belum didedahkan sepenuhnya terutama membabitkan kisah hati dan perasaan.
“Saya sedar diri saya bukan jenis lelaki yang ‘charming’ atau romantik apatah lagi dengan wajah begini serta sikap yang tampak kasar. Jadi saya ingin cabar diri galas karakter ini.
“Barangkali pada mata penonton peranan romantik cukup mudah. Tetapi bagi saya itu sebagai ujian untuk menyerlahkan sisi berbeza daripada yang ditonjolkan sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! Online.
Aktor berusia 35 tahun itu ditemui selepas program bual bicara Mendepani Cabaran dan Relevensi Anak Seni dalam industri tanahair di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Amerul bersama teman seperjuangan, Zahiril Adzim, yang juga alumni pusat pengajian seni itu diundang membicarakan topik seni dan bisnes sebagai persediaan kepada pelajar melangkah ke dunia pekerjaan nanti.
Mengenai hasrat tersebut yang disimpan sejak 2015 lagi, dia mendedahkan terbabit dalam sebuah drama kekeluargaan arahan Meor Hashim Manap, Setulus Cinta Aqilah.
Dari situ, perasaan teruja untuk mencuba watak cinta semakin membuak-buak bagi menyerlahkan sisi berbeza dirinya.
“Drama itu sudah agak lama menyaksikan saya sebagai anak Datuk Rahim Razali yang dipaksa kahwin dengan seorang gadis sekampung. Naskhah itu lebih kepada kisah keluargaan, bukan cinta.
“Saya pun pernah tanyakan kepada beberapa pengarah, tetapi belum ada rezeki untuk buat watak sedemikian,” katanya yang melihat aktor senior Ahmad Yatim sebagai idola bagi watak sedemikian.
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2019 dan Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 itu turut mengakui kebanyakan orang industri masih sangsi dengan keinginannya itu.
“Bukan mereka tak percaya, sebaliknya saya rasa pembikin drama atau filem mungkin tak sangka saya mahukan watak lelaki romantik. Sebab itu saya kena maklumkan saya bukan bergurau,” ulasnya lagi.
Sementara itu, bercakap mengenai projek pertanian, penternakan, pembiakan ikan sangkar serta kini menjalankan penanaman rumput, Amerul berkata, bisnes tersebut turut membuka peluang kerja kepada pemuda kampung.
“Biarpun sebelum ini pernah berdepan kerugian akibat banjir, bisnes yang diusahakan di Temerloh, Pahang tetap saya perjuangkan sejak tujuh tahun lalu supaya terus hidup.
“Syukur sebab dapat juga bagi peluang kepada orang kampung terutama anak-anak muda bekerja berbanding mereka nak ke luar daerah,” tambah bintang Bunohan itu. – KOSMO! ONLINE