fbpx

30 pasangan PKP naik pelamin bersama anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASANGAN pengantin itu yang dibawa berarak di Surau Al-Husna, Seksyen 20, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM – Sebanyak 30 pasangan pengantin mencipta kelainan apabila diraikan dalam satu majlis khas persandingan dan perarakan di Seksyen 20 di sini semalam.

Program itu menghimpunkan sebahagian besar mereka yang terjejas mengadakan kenduri ekoran pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan tahun lalu.

Arkitek, Muhammad Fikri Hakim Mohd. Tahir, 30, berkata kenduri perkahwinannya dengan Siti Nurkamisah Ya’akob, 29, agak kurang meriah pada pertengahan Februari 2020.

“Pada waktu itu, era pandemik sudah bermula dan menyebabkan ramai tetamu tidak dapat hadir kerana bimbang akan penularannya.

“Alhamdulillah, kini kami masih berpeluang meraikannya dengan lebih ceria dan meriah bersama puluhan pengantin lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Keraian Cinta Komuniti itu di Surau Al-Husna, di sini.

Bagi kontraktor, Amir Asnawi Ruslim, 29, penganjuran program itu sememangnya amat dinantikan beliau dan pasangannya, Wan Nurmunawarah Wan Ibrahim, 29.

“Ketika awal musim pandemik, kami juga hanya boleh mengadakan majlis kenduri secara kecil-kecilan bagi mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Biarpun dua lebih dua tahun berlalu, detik itu masih tidak dapat dilupakan biarpun bergelar raja sehari,” ujarnya.

Tambah beliau yang lebih 20 tahun menetap di Seksyen 20, dia bagaimanapun bersyukur kerana masih dapat diraikan secara besar-besaran bersama isteri dan dua anak kembar lelaki mereka yang berusia dua tahun.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Husna, Mohd. Takiyuddin Ibrahim berkata, pihaknya memperuntukkan lebih RM10,000 bagi program berkenaan yang tercetus idea penganjurannya bulan lalu.

“Selain merapatkan ukhwah komuniti setempat, ia memberi peluang kepada semua pengantin diraikan lebih meriah terutama yang tidak sempat mengadakan majlis kenduri akibat pandemik.

“Semua kos program khas kali pertama ini diperoleh daripada tabung khas surau, penduduk dan pemimpin setempat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI