fbpx

Wajah remaja bonus Song Joong-ki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SONG JOONG-KI yang baru-baru turun ke Singapura bagi sesi promosi naskhah Viu Original, Reborn Rich.

TIDAK sekadar bermodalkan wajah kacak, Song Joong-ki mempunyai kredibiliti dan personaliti yang melengkapkan pakej selaku aktor berpengaruh di Korea Selatan hingga meletakkan dirinya sebagai bintang kesayangan ramai sejak memulakan langkah dalam arena lakonan, 15 tahun lalu.

Tidak juga dimamah usia, keremajaan yang dimiliki memberi kelebihan kepada bintang Korea Selatan itu menggalas watak remaja walaupun sudah mencecah 37 tahun.

Namun aktor tinggi lampai itu mengakui dihimpit rasa bersalah membawakan peranan penuntut universiti berusia 20-an dalam dua episod drama bersiri Reborn Rich.

Biarpun hanya episod tertentu sahaja memerlukannya menjadi anak muda, dia masih tertanya-tanya sama ada keputusan melakonkan watak Jin Do-joon sesuatu yang tepat.

SAHAM Joong-ki semakin meledak setiap kali muncul dengan naskhah baharu.

“Saya bawa dua watak termasuk pekerja bernama Yoon Hyun-woo, cuma saya teragak-agak dengan Do-joon yang macam terlalu mencuba tunjuk diri tampak muda.

“Drama dengan plot menarik ini memerlukan saya menterjemahkan karakter Do-joon selaku pelajar universiti berusia awal 20-an dan kemudian kembali ke umur sebenar iaitu menghampiri angka 40 tahun.

“Berwajah muda satu bonus tetapi mencabar pegang karakter sebegini yang saya anggap sebahagian daripada cabaran yang menguji kemampuan.

“Walaupun teruja diberi kepercayaan mengalas dua watak, bagi karakter muda saya bagi diri saya B+, namun plot kuat selain sokongan rakan sepasukan menguatkan penampilan saya,” katanya berkongsi pengalaman terbabit dalam siri popular 16 episod terbitan Viu Original itu ketika diterbangkan ke Singapura bertemu 80 wakil media rantau Asia Tenggara, baru-baru ini.

Reborn Rich yang menduduki carta teratas drama popular sejak disiarkan dalam saluran Viu sejak 18 November lalu berkisar perebutan kuasa dalam sebuah bisnes besar.

JOONG-KI sempat melayan peminat yang menunggu lama untuk bersalam dan menatapnya dari dekat.

Tunggu dari pukul 6 pagi

Tampil segar mengenakan kemeja rona cerah diacu bersama celana kelabu, ruang terbuka di The Coliseum Resort World Sentosa memanas dengan kemunculan figura tersebut.

Sorakan lebih 300 peminat tegar yang setia menanti seawal pukul 6 pagi walaupun sidang media hanya bermula petang menggamatkan suasana.

Akui Joong-ki, kali terakhir singgah di Singapura ialah sewaktu promosi filem The Battleship pada 2017, kehadiran kali ini lebih santai dan memberi kesempatan buatnya bermain golf serta menikmati makanan laut sehari sebelum itu.

Petah berbahasa Inggeris, ramai juga bertanyakan sama ada personaliti Do-joon yang ceria dan popular dalam drama tersebut serupa dirinya ketika seusia muda.

Joong-ki yang mengakui dirinya penuntut biasa, tidak seperti watak dalam Reborn Rich.

Menuntut di sekolah khas untuk pelajar lelaki membuatkan zaman awal di universiti lebih menyeronokkan kerana berpeluang bergaul dengan rakan wanita.

“Seronok dapat jumpa kawan perempuan di universiti tetapi saya tidaklah popular seperti Do-joon.

“Saya lebih kepada jenis pendiam kerana sudah biasa bersekolah lelaki,” tambahnya sambil tertawa.

Kongsi aktor yang lebih dulu dikenali menerusi naskhah seperti A Werewolf Boy, Vincenzo dan Descendants Of The Sun itu latar Reborn Rich meninggalkan pengalaman berbeza buatnya.

Berada di set ketika turun naik fasa pandemik Covid-19 juga mencetuskan situasi berbeza sekali gus memberi kesan emosi kepada seluruh kru serta pelakon.

SIRI Reborn Rich memasuki episod akhir pada hari ini dan esok (Ahad).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI