TAIPEI – Taiwan merancang untuk menyekat pembelian ubat tahan sakit secara pukal disebabkan orang ramai mula menyimpan stok, malah ada yang cuba menghantar bekalan ke China, lapor laman berita Wion News semalam.
Menteri Kesihatan dan Kebajikan Taiwan, Hsueh Jui-yuan ketika bercakap kepada wakil rakyat semasa mesyuarat jawatankuasa perundangan Khamis lalu berkata, farmasi di pulau itu akan diminta untuk menasihati pelanggan agar tidak menyimpan stok Panadol dan ubatan berkaitan.
Hsueh berkata, satu perbincangan akan diadakan oleh pihak berkuasa kesihatan berhubung keperluan sekatan, namun pihaknya belum mempunyai rancangan konkrit setakat ini, lapor agensi berita Focus Taiwan.
Taiwan menghadapi kekurangan ubat berkaitan Covid dan parasetamol untuk demam sejak Mei lalu apabila terdapat lonjakan kes, lapor beberapa farmasi di Taipei.
Salah sebuah farmasi berkata, dalam beberapa minggu lalu, ramai pelanggan mula menyimpan stok ubat di tengah-tengah kebimbangan peningkatan kes Covid-19 selepas sempadan Taiwan dibuka semula untuk pelancong pada Oktober lalu.
“Kami kehabisan stok Panadol dengan pantas dan tidak akan mendapat bekalan dalam masa terdekat mungkin sehingga Tahun Baharu Cina yang jatuh pada akhir Januari tahun depan,” kata salah seorang pekerja sebuah farmasi di daerah Da’an, Taipei.
Beberapa pembeli di Taiwan merancang untuk menghantar ubat tahan sakit ke China yang menyaksikan lonjakan kes Covid-19 secara mendadak selepas sekatan di negara itu dilonggarkan.
“Saya merancang untuk membawa beberapa jenis ubat untuk membantu menangani Covid-19 apabila kembali bekerja di Shenzhen.
“Saya juga bercadang menjual semula beberapa jenis ubat kepada rakan-rakan saya,” kata usahawan Taiwan dikenali sebagai Lee. – Agensi