CARACAS, Venezuela – Seorang suspek kes pembunuhan pendakwa raya anti dadah Paraguay yang ditembak mati ketika berbulan madu di sebuah pulau di rantau Caribbean mengaku menerima upah AS$8,000 (RM35,416) untuk tugas tersebut, kata pihak berkuasa Venezuela kelmarin.
Menteri Dalam Negeri Venezuela, Remigio Ceballos berkongsi satu klip video bersama sekumpulan wartawan yang menunjukkan suspek, Gabriel Carlos Luis Salinas Mendoza mengaku terlibat dengan jenayah itu.
Suspek merupakan rakyat Venezuela dan ditangkap pada Selasa lalu.
“Kami menyewa sebuah jet ski, kami menuju ke Pantai Baru (di Colombia) dan kami membunuhnya.
“Selepas itu, saya dapat AS$8,000 dan saya datang ke Venezuela di seberang sempadan,” kata Salinas yang merupakan salah seorang daripada dua pembunuh terbabit kepada pasukan penyiasat
Marcelo Pecci, 45, rebah selepas terkena dua das tembakan ketika bersantai di tepi pantai bersama isterinya, Claudia Aguilera pada Mei lalu. Wanita itu merupakan seorang wartawan, manakala pasangan tersebut berkahwin pada 30 April lalu di bandar Cartagena.
Aguilera yang hamil ketika kejadian, menceritakan bahawa dua lelaki tiba di pantai itu dengan menaiki jet ski atau bot kecil. Salah seorang daripada mereka menghampiri Pecci dan menembak mangsa dua kali tanpa berkata apa-apa.
Salinas didakwa memandu jet ski itu. Menurutnya, dia bertindak bagi pihak seorang lelaki dinamakan Francisco Correa atau dikenali sebagai El Monin.
Ceballos berkata, Salinas akan dibicarakan di Venezuela di mana undang-undangnya melarang proses ekstradisi ke negara lain
Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti dalang di sebalik jenayah itu. Amerika Syarikat menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM22 juta) untuk maklumat berhubung siapa yang bertanggungjawab. – AFP