fbpx

Stres, media sosial punca anak muda biadab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

MINGGU lalu tular sepotong vi­deo dalam Instagram memaparkan seorang gadis berusia 16 tahun disekolahkan selebriti senior dalam sebuah program nyanyian kerana sikapnya yang dikatakan kurang adab.

Tidak kira sama ada hanya lakonan mahupun realiti, memang ramai yang mengakui terdapat golongan muda hari ini yang kurang ajar.

Ada yang berpendapat ia dise­babkan kurang didikan ibu bapa, malah merasakan diri serba tahu dalam semua perkara.

Rata-rata netizen berpendapat sikap kurang ajar dalam kalangan generasi muda sudah menjadi normal dalam masyarakat hari ini.

Suka menjawab secara sinis dan biadab dalam perbualan, itu antara yang disuarakan oleh beberapa individu dalam media sosial mengenai hal tersebut.

Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi berkata, cara pemikiran dan tindak balas generasi muda zaman sekarang banyak dipengaruhi pelbagai faktor.
Menurutnya, banyak faktor yang mendorong kepada terjadinya sesuatu tingkah laku tersebut iaitu bentuk, sasaran, konteks dan waktu berlakunya perkara tersebut.

“Apabila melibatkan tingkah laku seperti kurang ajar atau tidak menghormati seseorang individu lain terutamanya yang lebih berumur atau berpengalaman daripada kita, biasanya terdapat pengaruh konflik antara nilai diri dan nilai persekitaran sosial yang tidak jelas.

“Berada dalam keadaan gemuruh atau tertekan juga boleh menyebabkan tingkah laku yang ditunjukkan tanpa dirancang dan seterusnya boleh mendorong kepada tercetusnya sikap kurang senang,” katanya.

Selain tekanan situasi sekeli­ling, faktor lain tercetusnya permasalahan tersebut ialah didikan ibu bapa, corak komunikasi dan pengaruh media sosial.

“Tingkah laku negatif sebegini harus ditegur agar dapat dikawal, seterusnya mampu untuk berfikir sebelum bertindak.

“Sekiranya pelaku berada dalam keadaan tidak stabil dan tertekan dengan persekitarannya, ia juga boleh membuatkan mana-mana individu berubah sikap,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohd. Suhaimi menjelaskan, media sosial juga banyak mempengaruhi nilai moral golongan muda dan orang dewasa seharusnya memberikan bimbingan yang sewajarnya bagi membentuk generasi yang bertamadun.

“Pembentukan nilai moral sangat penting terutamanya kepada generasi muda yang sekarang ini banyak dipengaruhi oleh media sosial tanpa ada tapisan.

“Sehubungan itu, bimbi­ngan dan nasihat diperlukan bagi membentuk hubungan interpersonal yang efektif berdasarkan nilai adab dan adat yang ada dalam masyarakat,” ujarnya lagi.

Mohd. Suhaimi berkata, masyarakat juga tidak digalakkan untuk me­rumuskan bahawa semua ge­nerasi muda sebagai individu biadab.

“Orang dewasa tidak seharusnya membuat kesimpulan bahawa semua orang muda bersikap kurang ajar.

“Bagi golongan muda, sekiranya ingin dihormati, belajarlah untuk menghormati orang lain terlebih dahulu.

“Ibu bapa pula seharusnya menjadi teladan kepada anak-anak dan pemindahan nilai moral perlu berlaku dalam inte­raksi interpersonal supaya dapat mengelak daripada tercetusnya isu kurang ajar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI