PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan meningkatkan lagi amaran awal banjir menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) pada masa depan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau memahami keperluan terdesak menangani isu perubahan iklim di negara ini yang ditekankan lagi akibat banjir yang sudah menjadi bencana tahunan.
Beliau berkata, NRECC akan memberi fokus sepenuhnya kepada perkara tersebut dan akan terus mendepani usaha untuk mencari penyelesaian kepada isu yang membelenggu masa depan Malaysia ini.
“Kita sudah tidak boleh bergerak seperti biasa. Kami akan memperhalusi setiap komitmen kerajaan secara terperinci untuk memerangi perubahan iklim serta impaknya yang dahsyat.
“Kami akan terus menyokong dan membantu mengikut keperluan, setiap usaha yang dijalankan oleh jabatan dan agensi berkaitan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, pembentukan NRECC sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menangani perubahan iklim juga adalah bukti bahawa kerajaan ini sudah pun mengambil langkah segera dan positif.
Nik Nazmi berkata, Pakatan Harapan (PH) sememangnya sentiasa mengutamakan isu perubahan iklim, yang terbukti bukan sahaja melalui Manifesto PH.
Malah, katanya, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, beliau pernah mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim dan Biodiversiti yang dibuat pada 4 Ogos 2022.
“Selain itu, NRECC pada 19 Disember 2022 juga telah mencadangkan kepada Speaker Dewan Rakyat, pembentukan satu Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Matlamat utama Jawatankuasa Pilihan ini adalah untuk membantu kerajaan dalam mengesyorkan dasar yang jelas serta mengenalpasti kaedah-kaedah mitigasi terhadap perubahan iklim,” katanya. – KOSMO! ONLINE