TUMPAT – Seorang peniaga kedai makan sanggup menyewa inap desa daripada berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumahnya di Kampung Simpangan di sini terjejas banjir.
Fauziah Jaafar, 56, berkata, keputusan untuk menyewa inap desa itu bukan kerana mahukan keselesaan tempat tinggal, tetapi dilakukan ekoran kekangan kerja.
Katanya, dia akan berdepan kesukaran untuk ke kedai makannya jika tinggal di PPS apabila jarak pusat pemindahan jauh selain beberapa laluan utama dinaiki air.
“Saya bersama lima anak dan menantu memilih tinggal di inap desa berdekatan dengan kedai saya sejak rumah dinaiki air di Kampung Simpangan lima hari lalu.
“Harga sewaan inap desa sebanyak RM80 untuk sehari dan jumlah itu berbaloi untuk kami sekeluarga tinggal di sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kedai makannya di Kampung Chabang Empat di sini semalam.
Menurut Fauziah, dia dan keluarga menyewa di inap desa yang paling dekat dengan kedai makannya bagi memudahkan mereka untuk berulang-alik.
Menurutnya, dia juga mengambil keputusan untuk tidak menutup kedai makannya sepanjang musim banjir kerana tidak mahu pendapatan pekerjanya terjejas.
“Saya ada ramai pekerja di kedai makan. Jika kedai saya tutup, pastinya pendapatan mereka terjejas lebih-lebih lagi musim banjir yang memerlukan pelbagai perbelanjaan untuk membantu menyara kehidupan keluarga,” jelasnya.