fbpx

Telur tempatan laku, telur ayam India bukan pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa pelanggan memilih untuk membeli telur ayam tempatan berbanding telur import (kiri) yang dijual di sebuah pasar raya di Lembah Klang semalam.

PETALING JAYA – Telur ayam import dari India didapati masih belum dijual di kebanyakan pasar raya atau kedai-kedai runcit utama di sekitar Lembah Klang.

Ia dipercayai berpunca daripada peruncit dan pemborong yang lebih mengutamakan telur tempatan kerana risau tiada pembeli mahukan telur import.

Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Lembah Klang semalam mendapati, hanya telur ayam tempatan yang dijual di kebanyakan premis.

Seorang peniaga kedai runcit dikenali sebagai Azman berkata, dia belum menjual telur ayam import dari India kerana bekalan telur tempatan masih lagi boleh didapati daripada pembekal.

“Setakat ini walaupun tak ba­nyak, saya masih boleh dapat te­lur tempatan daripada pembekal. Contohnya semalam (kelmarin) saya dapat 50 papan telur tempatan dan kesemuanya habis dijual dan pagi ini dapat lebih kurang 40 papan telur tempatan.

“Tambahan pula, saya dapati telur import dari India bersaiz agak kecil jika dibandingkan de­ngan telur gred C. Saya bimbang pelanggan tidak mahu beli,” katanya kepada Kosmo!.

Selain itu, seorang pengurus pasar raya dikenali sebagai Yin berkata, setakat ini tiada pelanggan yang seperti berminat untuk membeli te­lur import tersebut.

“Setakat ini tidak ada lagi pe­langgan yang bertanya mengenai telur import India itu.

“Pasar raya kami juga masih boleh dapat bekalan telur kelua­ran tempatan, jadi belum ada perancangan untuk menjual te­lur import.

“Tambahan pula, agak be­risiko untuk menjual telur import itu kerana kita bimbang tidak ada pelanggan mahu membelinya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga nasi lemak, Hasimah Jaafar, 60, berkata, setakat ini dia masih menggunakan telur tempatan bagi hidangan nasi lemak yang dijual di kedainya.

Katanya, meskipun telur tempatan agak sukar diperoleh sekarang, dia masih berusaha untuk mendapatkan bekalan berikutan bimbang akan kualiti telur-telur dari negara berkenaan.

Baru-baru ini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) membenarkan kemasukan telur ayam import dari India melalui laluan udara sebagai fasa percubaan.

MAFS telah membawa masuk telur ayam dari negara luar itu untuk menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi negara bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI