KLANG -Pengumuman kesemua jawatan untuk pengerusi badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ia turut melibatkan jawatan di bawah kesemua kementerian dan agensi terbabit.
“Itu telah dibuat berdasarkan penyelarasan kepada semua badan-badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan juga syarikat-syarikat yang lain di bawah kementerian-kementerian dan lain-lain agensi untuk disamaratakan kepada tarikh yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri sendiri.
“Maka penyelarasan dilakukan untuk semua jawatan bukan hanya satu jawatan sahaja..akan diumumkan sekali lagi,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat India di Bukit Kemuning hari ini.
Terdahulu media melaporkan bahawa bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, akan dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.
Perkara ini diumumkan oleh Ahmad Zahid yang berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.
Namun pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang itu sebagai pengerusi Felcra ditangguhkan, kata Perdana Menteri.
Anwar berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Zahid.
Pelantikan tersebut ditangguhkan setelah mendapat kritikan pengguna media sosial dan kumpulan masyarakat sivil.
Sementara itu dalam program tersebut, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Datuk Seri KN Ramesh Rao sebagai Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal kaum India di negara ini.
“Maka selaku Timbalan Perdana Menteri saya prihatin terhadap masalah pelbagai kaum, dan saya berharap pegawai-pegawai menterjemahkan dasar kerajaan.
“Maka bagi menterjemahkan soal menjaga kebajikan masyarakat India tentulah adil bahawa ada jawatan harus saya tawarkan kepada Ramesh Rao. Saya dengan ini melantik beliau sebagai pegawai khas Timbalan Perdana menteri menangani masalah masyarakat India,”katanya.
Ahmad Zahid berkata, Ramesh Rao bukan sahaja diberi tanggungjawab untuk menjaga kebajikan masyarakat India dalam Parti MIC tetapi termasuk ahli PKR dan kesemua masyarakat India di negara ini. – KOSMO! ONLINE.