PETALING JAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan jumlah kerugian akibat banjir di seluruh negara bernilai RM6.1 bilion tahun lalu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, kerugian itu melibatkan kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan infrastruktur.
Katanya, kerugian itu tidak termasuk perbelanjaan besar dilakukan untuk bantuan pengurusan banjir besar, membaiki infrastruktur rosak teruk, tempat perpindahan banjir dan lain-lain.
“Apabila berlakunya banjir besar ia akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan hasil tanaman dan ternakan, kerosakan harta benda dan boleh memusnahkan kemudahan infrastruktur yang ada.
“Mangsa banjir kehilangan rasa kebahagiaan, mengalami trauma, kenderaan rosak perlu dibaiki menyebabkan pendapatan terjejas malah hilang. Ini menyebabkan indeks kebahagiaan hidup merudum dan kesejahteraan hidup terjejas,” katanya menerusi Facebook.
Beliau turut meminta kerajaan negeri memainkan peranan dalam merancang persediaan menghadapi banjir besar, namun lebih penting adalah langkah pencegahan kerosakan alam sekitar tidak memburukkan keadaan sedia ada.
“Penguatkuasaan atau pembanterasan penerokaan hutan secara haram, penerokaan hutan tanpa peduli pemeliharaan alam sekitar perlulah dihentikan.
“Yang paling asas, sistem saliran dan perparitan perlu lebih terjaga termasuk aspek pendalaman agar diselenggarakan lebih baik agar tidak berlaku takungan air, tidak tersumbat dan sebagainya.
“Ini penting agar tidak berlaku banjir kilat mahupun banjir besar di desa mahupun perumahan di kota,” ujarnya.
Ahmad Zahid memberitahu budaya penyelenggaraan seharusnya menjadi amalan budaya kerja harian dan bukan berlaku banjir baru diberikan perhatian.
“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mangsa banjir, para ahli akademik dituntut membantu memberikan maklum balas kepada kerajaan membuat penyelesaian terbaik menangani isu banjir demi kesejahteraan penduduk,” katanya.
Tambahnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa bersedia menghadapi sebarang bencana dan telah menerima peruntukan tambahan berjumlah RM400 juta bagi kesiapsiagaan banjir tahun ini.
“Maka mana-mana pihak perlu lebih bersedia menghadapinya. Bercuti ke luar negara misalnya bukanlah keputusan terbaik ketika rakyat yang memilihnya dahulu ditimpa musibah,” katanya. – KOSMO! ONLINE