fbpx

Karya muzik terbaik, siulan Nusantara 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN kehadiran album fizikal semakin lama, semakin ditelan zaman disebabkan kepesatan teknologi dan platform penstriman digital, ramai orang muzik Nusantara tetap hadir dengan karya hebat yang terkandung kualiti tersendiri, sekali gus menjadi siulan ramai.

TAHUN 2022 menyaksikan dunia kembali menghirup nafas segar selepas lebih dua tahun terpenjara permasalahan pandemik Covid-19.

Perihal tersebut turut memberi sinar buat pemuzik global yang kembali mencernakan minda kreatif, termasuklah deras energi sama terhasil daripada para pemain muzik kreatif tempatan.

Kendatipun peluncuran diskografi atau album fizikal semakin lama, semakin ditelan zaman disebabkan kepesatan teknologi dan platform penstriman digital, ramai orang muzik Nusantara tetap hadir dengan karya hebat yang terkandung kualiti tersendiri, sekali gus menjadi siulan ramai.

Berikut merupakan antara karya muzik pilihan HibGlam yang turut memercik fenomena luar biasa di persada muzik luar.

Satu Malam Di Temasek
Penyanyi: Joe Flizzow, SonaOne
Komposer: Joe Flizzow, SonaOne
Sumber: Universal Music Malaysia

Joe Flizzow sebenarnya pernah berjanji untuk membikin album studio penuh berjudul Johan, namun hanya sempat berkongsi sebuah karya berjudul Satu Malam Di Temasek pada 2022. Jika wujud senarai lagu Melayu Nusantara terbaik tahun ini, lagu berkenaan adalah pilihan perdana penulis di tangga teratas.

Bukan berat sebelah, namun lagu terbabit sememangnya miliki kualiti dari segi komposisi melodi, produksi dan lirik yang berbekas buat pendengar.

Sekali lagi menjalin kolaborasi dengan SonaOne, tidak mustahil lagu berkenaan kembali berada di podium tertinggi acara yang disifatkan segelintir sebagai ‘Grammy Malaysia’ tahun hadapan. “Dulu selalu pegang besi yang berkarat, sekarang jari manis ada 6 karat.” Itu antara bait lirik selamba lagu tersebut, namun penuh bermakna.

Hati-Hati Di Jalan
Penyanyi: Tulus
Komposer: Muhammad Tulus, Ari Renaldi
Sumber: TulusCompany, Massive Music

Pemuzik kebanggaan Indonesia, Tulus mengotakan janji muncul dengan album baharu berjudul Manusia tahun ini. Memuatkan 10 buah trek hebat, sebuah lagu yang menyerlah adalah yang bertajuk sangat sederhana, Hati-Hati Di Jalan.

Judulnya ringkas, namun pengisiannya penuh makna terdasar di hati. Tulus sememangnya antara pemuzik paling berbakat di Nusantara.
Listrik vokal kekal berkelas, gubahan muzik utuh terkandung signatur jenamanya yang sangat dekat di hati peminat. Gerak kerja muzik Tulus setia berderu maju berstatus ‘papan atas’ termasuk dari aspek kualiti muzik video, produksi dan kualiti lain.

CASABLANCA
Penyanyi: Naufal Azrin, Nuha Bahrin
Komposer: Abdulkarim Al Ali, Daqmie, Wan Saleh
Sumber: Universal Music Malaysia

MENJUAL getar, suntikan muzik dan melodi Arab, Casablanca kini menjadi siulan dan pilihan pendengar sehinggakan menduduki tangga pertama ‘playlist’ popular menerusi Spotify, Carta Malaysia 50.

Secara peribadi, saat pertama kali mendengar lagu ciptaan ‘trio’ Abdul Karim Al Ali, Daqmie dan Wan Saleh menerusi radio, terfikir juga, adakah lagu berkenaan merupakan gubahan dan nyanyian anak seni dari Tanah Arab.

Rupa-rupanya, dendangan tersebut milik Nuha, seorang penyanyi yang suatu ketika dahulu pernah tular gara-gara persembahan yang dianggap sumbang dan ‘terkucil’ dalam sebuah program realiti. Bukan pilihan utama penulis, namun tidak dapat dinafikan status lagu tersebut sebagai antara hit siulan ramai tahun 2022.

Sempurna
Penyanyi: Insomniacks
Komposer: Danial, Gavin, Iqie, Iskandar
Sumber: Universal Music Malaysia

BARANGKALI menjadi antara pilihan sensasi, namun Sempurna antara lagu Melayu yang mempunyai ruang tersendiri di hati penulis. Dari sudut komersial, Sempurna berjaya dengan bergayanya.

Bukan mudah untuk sesebuah lagu berentak perlahan mendaki carta, namun kemustahilan tersebut dilakukan Insomniacks menerusi lagu berkenaan. Kalau tidak silap, beberapa kali lagu tersebut merajai atau berada di kedukan atas carta lagu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Dalam platform penstriman juga tidak kurang hebatnya.Secara peribadi, Sempurna mempunyai ‘vibe’ lagu asal Indonesia, namun sebenarnya sebuah karya yang dilantunkan oleh pemuzik tempatan.

Bernuansa balada perlahan dengan lirik yang romantis, namun sayangnya lagu tersebut gagal lolos ke AJL37 apabila langkah terhenti di peringkat separuh akhir.

Rumah Singgah
Penyanyi: Fabio Asher
Komposer: Fabio Asher, Trakast
Sumber: Fabio Asher

Rumah Singgah nyanyian Fabio merupakan antara karya balada kegemaran ramai termasuk penulis untuk tahun 2022. Bukan hanya mencipta fenomena di Indonesia, lagu tersebut juga mendapat tempat istimewa dalam kalangan pendengar Melayu di Malaysia.

Rumah Singgah, sepotong judul lagu yang pengisiannya amat berbekas, baik dari segi komposisi muzik, nukilan lirik serta listrik vokalnya.
Sejujurnya, pertama kali mendengar Rumah Singgah, jiwa dengan mudahnya terpaut. Siapa pun mudah jatuh hati dengan keindahan komposisi muzik dan tulisan lirik yang diadun dalam lagu berkenaan.

“Yang terjadi kini ku hanya rumah persinggahanmu di saat kau terluka.” Itu antara bait lirik dalam lagu yang senang berkait dengan pendengar terutama yang berada dalam dilema sebuah destinasi perhubungan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI